sufiyyah~


perkebunan terakhir

PERKEBUNAN TERAKHIR 

pada nafas yang kian sempit

pada jejak-jejak dosa yang terlalu jauh perjalanannya

pada rasa ingin untuk mencicip tenang

Gerak

         kian

             keras

Suara

          kian

               hambar

Ghairah

              sudah

                        mati

Yang tinggal hanyalah cinta

pura-pura pada Yang Esa[?]

Kuterima kanvas hadiah semusim kehidupan

pada

ungu

putih

hijau

biru

yang ingin kupalit

sudah bertompok hitam jelik

pada perkebunan akhir

jual beliku dengan Tuhan

moga ada bekal

ranum buah iman


9 Muharram

9 Muharram bakal menjengah sedikit waktu lagi. 9 Muharram yang membezakan puasa Umat Muhammad dengan yahudi laknatullah. 9 Muharram yang menjadi pendamping Hari Asyura yang gah. 9 Muharram yang punya nilai di jiwa ana.

Saat 10 Muharram itulah…

Hari pertama Allah menciptakan alam, hari pertama Allah menurunkan rahmat, hari pertama Allah menurunkan hujan, Allah menjadikan ‘Arasy, Allah menjadikan Luh Mahfuz, Allah menjadikan alam, Allah menjadikan Malaikat Jibril, Nabi Adam a.s. dicipta, diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah, Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit, diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan, Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud, Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud, Nabi Yusuf a.s.dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun, Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut, Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya, Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah, Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s., Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam, kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah., Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar, Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda, dan Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera khalifa Bani Umaiyyahiaitu Khalifah Yazid.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu dan Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata :

Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah ahri yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah SAW berkata, “Pada tahun hadapan – Insya Allah- kita berpuasa pada hari kesembilan.”

Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah SAW. – Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud. Di dalam lafaz yang lain disebut sabda Rasulullah SAW :

Seandainya aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan (iaitu bersama hari ‘asyura) – riwayat Ahmad dan Muslim.

Berbahagialah jiwa yang masih punya nafas untuk dinikmati.

Bersyukurlah ana dengan detik-detik yang masih wujud sempena 21 tahun kelahiran ana.

Sempena 9 Muharram, moga-moga bertunjung kukuhlah keyakinan pada janji-janji Allah. Moga 9 Muharram benar-benar membezakan ana dengan yang kuffar.

Aku pengembara padang pasir jiwa 

Astaghfirullah

Tuhan,

aku adalah pengembara di padang pasir jiwa

gelisah saat susah

resah tika lelah

Allahuakbar!

Tuhan,

kalbuku berubah-ubah

saat tenang bersenang-lenang

saat benci kuberpaling

saat cinta kumemuja

saat sulit aku aneh sekali

Subhanallah! Ingatilah Allah, hati-hati akan menjadi tenang

Tuhan,

tetapi mengapa

gelisahku terus merantai?

kecewaku tak bersebab?

bingungku bertambah walau lambakan kewajipanku

perlu segera ditunai?

Lahaulawala quwwataillahbillah

Basahkan!

lidahku dengan zikrulllah

hidupkan aku dengan cahaya-Mu

kejutkan lalaiku dengan nama-Mu

keraskan suaraku saat memuja-Mu

kejapkan gentar pada tangkai hatiku!

Alhamdulillah

Dekat lagi sehasta, saat ku mampiri-Mu sejengkal

kuberlari pada-Mu Tuhan

Kukejap tadabbur, tafakkur, ta’alim di dada

kuberlari pantas-pantas pada-Mu

Tuhan!

 

Lailahaillaallah

Ya Tuhan

cintai aku!

jadilah pendengaranku!

hadir dalam penglihatanku!

jadilah tanganku saat kugerakkan ia!

Jadilah kakiku saat ku melangkah!

Tuhan, aku pengembara yang dahaga

di padang pasir jiwa!


Kekasih yang tercipta untukku, sabarlah menanti

Sajak untuk kekasih [atas permintaan ukhti Hani]

Kukirim impi pada samudera langit

supaya ukiran gemawan rasaku akan tercantum indah

pada pelangi mesra

Kubisik pada bayu yang malu-malu mencumbu

katakan lekas-lekas pada sang kekasih bahawa;

kusetia merindu

Kupesan pada hati

renunglah riak rasa dari mata yang tidak buta

supaya nanti tidak ku tersalah menabur cinta.

kupesan pada diri,

tuturlah bicara, dari bibir yang tidak bisu,

supaya nanti, lontaran kataku semerdu tulusku.

Kupesan pada jiwa,

dengarlah mulus irama, dari telinga yang tidak tuli

supaya nanti, saat Izrail datang mencari, kuteguh dengan diri.

Kumenanti,

dengan zikir tidak henti-henti,

zikir pada Ilahi, impianku tak akan mati,

matiku di jalan tersuci. Moga-moga

kekasih yang kutemu, menjadi sayapku

terbang tinggi-tinggi.

Kekasih,

yang tercipta untukku.

Kupendam rindu

dalam gelora kalbu.


iklan

lagi-lagilagi kueh tatkueh tat

kueh tat yang sedap

lagi enak

sedap dimakan

bersama tersayang~

=p

[beli jangan tak beli]

contact person:

+60134883292

or

+60123470374

price: RM22/51 pieces

 

————————————————————————————————————————-

Jika ada antara sahabat-sahabat yang terlibat dengan persatuan sains di universiti atau kolej masing-masing, harap dapat hubungi +60123470374. Syukran Jazilan =) ~Public Relation & Information Bureau, SCIENCESS IIUM

http://s-c-i.blogspot.com/


Karya ana

Kami menerima tugasan subjek BM yang berlainan. Ketika itu semua orang sedang  sibuk mencari bahan. Saat itu Fazilah datang ke bilik ana, meminta jika ada buku-buku rujukan BM untuk penulisan [pidato]. Lalu ana cadangkan pergi sahaja ketemu Safiah, yang punya banyak koleksi majalah Dewan Sastera. Tidak ana sangka kerana itu jugalah ana mengetahui karya ana tersiar di majalah e@sastera, edisi 06 Ogos 2007.

Taqdir

Taqdir kita adalah

sebuah pertemuan di awal kenal.

Di kota,

di antara kalut derap-derap langkah

Di ruang maya,

yang ada hanya pemisah,

Di kuning permatang dan tenang riak tasik.

Kau

dan aku

sama tertarik,

kerana beza fikir dan nasib.

Kalau ada satu

perlu kupilih

adalah sesungguhnya

taqdir yang manis.

Sangat ringkas. Ana percaya jika ruangan kritik disediakan, mungkin karya ini akan dihentam dan dikata tidak memenuhi undang-undang puisi, meskipun ia adalah seni. Itu ana sedar sendiri.

Karya yang pertama tersiar di media, seingat ana adalah semasa di tingkatan empat, sajak berjudul persahabatan di dalam majalah sekolah. Kemudian, pernah juga tersiar sajak berjudul “Rabiah Adawiyah” dan sajak perihal “orang-orang yang berselimut” melalui segmen nukilan IKIM.fm. Seterusnya di dalam majalah CAHAYA keluaran JAKIM, Jun 2007. Malang sekali, kerana majalah ini tidak terdapat di pasaran ana tidak berjaya memilikinya. Ana juga sebenarnya terkilan kerana sehingga sekarang ana tidak tahu karya apakah yang tersiar di majalah CAHAYA itu  kerana ana mengirim artikel, sajak dan cerpen sekaligus. Hanya wang penghargaan RM100++ yang tiba bersama surat, sebagai bukti penyiaran.

Karya “kujunjung terus”  dan “Tuhan, aku datang” pernah disiar dalam majalah maya Alwan Comic;

Kujunjung terus 

hati,

 kenapa terus mendesah hiba?

 - kerana impi dan kenangan terlalu menghimpit

 Tuhan,

gerak

 tangis

ratap

dan bicaraku

 kadang tak semurni

 apa yang kuikrar padaMu

Seandainya hatiku

 sampai hancur kerana merindu

kujunjung terus perintahMu

Tuhanku

alwancomics.com  adalah laman tempat ana gemar berkunjung, malahan bagai taman tempat ana tenggelam dalam nikmat berpuisi. Segalanya ada di sana. Semuanya tertumpah di laman itu. Malang sekali, laman web itu telah di”hack”, maknanya keberangkalian karya-karya ana akan hilang amat tinggi. [Semoga Allah berikan hidayah kepada makhluk tidak cukup akal itu.]

Ana sememangnya kelihatan tidak kisah ataupun mungkin tidak serius memantau perkembangan karya-karya yang ana hantar ke mana-mana media. Meskipun begitu, keinginan tetap kuat untuk menghadiri mana-mana bengkel penulisan berkisar sastera. Ana pinta, sempena usia mencapai 21 tahun ini, moga-moga diperkenanlah Tuhan.

Doakan ana.