sufiyyah~


musibah

Kematian itu dirasakan mendekat setiap saat, seperti pasir yang jatuh sebutir demi sebutir dalam jam pasir. Semakin kurang pasir di bahagian atas, kelajuannya semakin bertambah. Setiap detik, setiap jam, setiap hari. Seolah-olah malaikat maut menjenguk setiap pertambahan detik.

Kelekaan dalam solat sering merantai ana, seperti belitan iblis yang menyamankan saat empuk tilam dihenyak. Sering juga alpa bahawa tembolok yang diisi dengan makanan adalah tujuannya demi meningkatkan kudrat menyembah Ilah. Begitu juga setiap detik masa udara dihembus, dihirup, seringkali dihabiskan untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah. 

Solat, qiamullail, zikrullah dan tadabbur sesunguhnya membina jiwa seorang hamba. Tatkala diasak pelbagai masalah ataupun tatkala hidup begitu senggang, jiwa menjadi ketua yang mengarah. Qalbunya berjaya dikawal, walaupun fitrahnya qalbu sering berombak, berubah-ubah.

 Solat, sebagai salah satu zikrullah menjadi satu tiket penjagaan Allah ke atas diri. Kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko yang terbatas pada pandangan. Beringatlah bahawa samada musibah akan menimpa ataupun hati bakal diterjah dugaan maha hebat, tiada siapa pun yang mengetahuinya kecuali Allah. Kepada-Nyalah kita bergantung harap dan meminta pertolongan. Allahu akbar, peliharalah kami dari musibah!

 

Seandainya telah ditaqdirkan sesuatu berlaku dalam hidup kita, sekurang-kurangnya kita telah melakukan apa-apa yang diperintahkan Allah SWT dengan sebaik-baiknya. Dan ingatlah bahawa orang-orang di sekeliling kitalah yang bakal menjadi perantara ketika kudrat ditarik Tuhan. Kerap benar ana lupakan ini…Selalu sahaja ana melupakan kebaikan orang lain tatkala hati disakiti, marah dan kecewa. Sahabat sejati, susah senang sentiasa bersama, walaupun tatkala senang kita melupakannya. Dia tidak marah atau kecewa, dia tidak mengungkit atau mengeluh. Bertuahnya memperoleh sahabat sebegitu, ukhuwwahnya benar-benar kerana Allah.

 

Memperoleh sahabat sebegitu pastinya kerana kedekatan jiwa dengan Tuhan. Kerana hati-hati orang yang sentiasa mengingati Tuhan akan berhubungan. Masing-masing faham, hormat-menghormati, jiwa mereka tidak bergolak kerana hal-hal dunia, hati mereka tidak mudah terguris kerana kesilapan dan mudah juga memaafkan. Hati-hati ini juga sangat peka akan keadaan sekeliling, bicara, tingkah, pandangan mata yang menikam lembut pada hati-hati orang lain. Maka tidak hairanlah mereka disukai dan dicintai manusia. Seperti kecintaan Tuhan kepada mereka, dan cinta mereka akan syariat-Nya.

 

Sahabat, sesungguhnya maut itu amat dekat…


Adik

Alhamdulillah, ana berpeluang menziarahi adik-adik di Sekolah Teknik Kuantan baru-baru ini. Suasana kehidupan asramanya benar-benar menggamit kenangan zaman persekolahan. Tambahan, sempat pula solat berjemaah bersama-sama, disambung pula zikir asma ul husna, disambut dengan munajat memohon keampunan Allah. Syahdu sungguh!

Menjadi kakak kepada adik-adik yang sebegini, sebenarnya adalah tugas yang berat. Kerana kasih dan sayang, kerana rasa ingin memberi, kerana ingin kenal dan berbudi, maka ana teruskan. Tugas ini berat kerana untuk memahamkan orang lain adalah mudah, tetapi untuk mengajak orang lain menghayati biah islamiyah amatlah sukar. Sedangkan diri sendiri masih belum mampu untuk menghidupkannya dalam setiap nafas yang diatur.

Adik-adik ana yang ana baharu kenali itu bukan “hingusan” lagi. Sekurang-kurangnya tahu membaca AQ dengan lancar, tahu sejarah Valentino, tahu hukum hudud apa manfaatnya, tahu apa hukumnya, tahu berzikir selepas solat, tahu menghargai kakak-kakak, tahu memberi sepenuh perhatian dan tahu berkongsi kasih dan sayang.

Pada wajah yang bersih itulah, bakal terbit generasi yang baharu. Pada tunak pandangan mata yang dimililiki mereka itulah, yang bakal membuka satu perjalanan yang panjang dan berliku. Pada taman-taman ukhuwwah ini, rantai-rantai perjuangan akan terus bersambung…

Seperti kata imam as-Syafie “Aku menyayangi sahabatku dengan segenap jiwaku. Sahabat yang baik adalah seiring denganku dan menjaga nama baikku semasa aku hidup mahupun setelah aku mati. Kuhulurkan tangan kepada sahabat untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai sahabat, aku semakin percaya diri. Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tak luntur dalam suka ataupun duka. Jika aku dapat aku akan setia padanya.”

Menghulurkan tangan persahabatan kepada saudara yang belum dikenali amatlah menguntungkan. Hatta segaris senyuman dapat mengundang pahala, inikan pula jika menyambung tali-tali ukhuwwah sesama saudara sefikrah [islam]. Konsepnya bukan sekadar untuk meminta pertolangan, malahan lebih jauh daripada itu. Aplikasinya melangkaui sehingga saat kita diadili Allah. Maka pada ketika tulah, sahabat yang benar-benar sejati akan muncul, menjadi saksi, betapa kita telah berusaha mewangikan dunia dengan mawaddah, ikatan hati sesama muslim dengan aqidah.

Sahabat, meluangkan masa sedetik bersama adik-adik di luar sana mungkin menuntut 1000 pengorbanan. Masa, tenaga dan wang. Tetapi, sedetik itulah mungkin akan menjadi saksi yang membawa kita memasuki jannah.

* akhawat yang nak sertai program ini boleh maklumkan kepada Rumaisa/ ana sendiri.

[Anjuran VT]


Dia

Kalau dapat kututur bintang
hanya satu dalam langit hidupku,
alangkah baiknya.

Andai dapat kupilih, sebutir permata
lalu terus kugilap sepanjang usia
alangkah bertuahnya.

Pada matanya yang ungu
Pada hatiku yang ngilu
Pada kenangan yang suram
Pada harapan yang kelam.
Cita dan gerimis selalu sahaja berbaur

Titian yang perlu kulalui, satu sahajakah?
Pada depan yang kelam, pada kenangan yang suram.
Pada wajah yang kuraup seluruh ahlam.
Pada dirinya, pada duri yang menikam.


mati

Saat sekujur tubuh itu melintas ketika ana melangkah, ketika itulah ingatan padanya datang menyerbu bersama rindu. Pada senyum, pada bicaranya…Ya Allah betapa cepat Kau meragut nyawanya! Kak Muna, sungguh ana merinduimu…

Seperti senyap kak Muna pada rahsia penyakit barah ovari dan usus yang dideritai, begitulah dia pergi..Ana kesal sungguh, di saat seorang sahabat diperlukan, ana tidak berada pada ketika itu. Dan pada setiap jasa, budi dan senyuman kak Muna saat gundah datang menggasak jiwa ana, ana pohon semoga dibalasi Allah.

*allahyarhamah kak Muna, 22 adalah sahabat ketika belajar di SMKAK dahulu, ketika saat-saat akhirnya, allahyarhamah sedang menuntut di UIAM Gombak dalam jurusan Kejuruteraan. Juga buat akh Zaid Harithah, 22 yang meninggal dunia tahun lepas akibat jangkitan hati, beliau merupakan bekas pelajar jurusan kedoktoran UMS. Al-Fatihah. 

MENANTI DI BARZAKH-Far East 

kumerintih, aku menangis,

kumeratap, aku mengharap…

kumeminta,

dihidupkan semula…

agar dapat kembali ke dunia nyata

perjalanan rohku melengkapi

sebuah kembara

singgah di rahim bonda

sebelum menjejak ke dunia

 menanti di barzakh sebelum dekat di mahsyar

dihitung amalan penentu syurga atau sebaliknya

tangan yang basah berwarna merah

semerah mawar dan juga rindu

7 langkah pun baru berlalu

seusai talkin bernada syahdu

tinggalkan damai di pusaraku

nisan batu menjadi tugu

namun tak siapa yang tahu resah penantianku

terbangkitnya aku dari sebuah kematian

seakan kudengari tangis mereka yang kutinggalkan

kehidupan di sini bukan satu khayalan

tetapi ia sebenar kejadian

kembali roh kembali, kembalilah ke dalam diri

sendirian sendiri, sendiri bertemankan sepi

hanya kain putih membalut tubuhku

terbujur dan kaku

jasad di dalam keranda kayu

ajal yang datang di muka pintu

tiada siapa yang memberitahu

tiada siapa yang dapat hindari

tiada siapa yang terkecuali

lemah jemari nafas terhenti

tidak tergambar sakitnya mati

cukup sekali, tak sanggup ku untuk kuulangi

jantung berdegup kencang menantikan malaikat datang

menggigil ketakutan

gelap pekat di pandangan

selama ini diceritakan kini aku merasakan

di alam barzakh jasad dikebumikan


amanah

Alhamdulillah. Peperiksaan pertengahan semester telah berakhir hari ini. Berakhir juga beberapa tugasan yang ditagih, namun tidak bermakna taklifan yang lain tidak ada. Malahan menunggu giliran pula untuk diselesaikan. Ana tidak mahu lupa bahawa lebih kurang 36 hari sahaja lagi sebelum peperiksaan akhir bermula, titik penamat matlamat ana semester ini.

Bersama-sama tugasan yang menimbun dan senggang masa 24 jam yang dihadiahkan Tuhan, ana benar-benar berharap dapat memaksimakan sebaik mungkin. Jika ada yang suka kehidupannya tenang dan senang dengan tumpuan pada pelajaran 100%, ana betah untuk bekerja separuh daripada masa yang ada padanya. Hidup tanpa pengisian yang bermakna amat membosankan, seperti air yang dipenuhi setengah gelas, tidak terhapus haus sewaktu panas terik.

Dan aktif sebagai seorang pelajar dan muslim, bukanlah alasan untuk meminta pengecualian, baik dalam tugas yang diamanahkan manusia mahupun daripada Allah SWT. Barakah tidak mungkin akan muncul pada jiwa-jiwa yang tidak sedar betapa sedikitnya amalan yang hendak dipersembah di depan Khaliq saat pertemuan abadi nanti. Begitu juga dengan alasan untuk lepas tangan, menipu atau ponteng kuliah semata-mata ingin mengulangkaji untuk peperiksaan. Sangatlah tidak matang!

Masa 24 jam yang diberi Tuhan selalu benar dipersia-sia. Manusia selalu lupa.

Lupa juga pada barakah yang akan diperoleh jika guru meredhai kita. Lupa pada Allah, yang mengatur setiap saat yang akan kita hadapi. Lupa pada keyakinan dan percaya diri-amanah! Amanah walaupun diberi peluang, amanah walaupun sangat terseksa untuk mendapatkan sebuah kejayaan!

Sahabatku, akhawat tersayang…

ingatlah, sampai satu saat nanti, kita akan bertemu di alam yang “nyata”, bukan fana!