sakit
Barangkali ana mengalami dehydration. Akibat penghawa dingin yang betul-betul membekukan saat menjawab soalan peperiksaan, dan saat melangkah keluar sahaja terus diterkam terik mentari. Mungkin juga kerana penat. Otak yang lelah pun mahu disumbat terus dengan input-input buat bekalan di medan juang. Ataupun diri yang lepa, bahawa bahagian badan ini adalah hampir seluruhnya adalah air. Tapi teguk tidak sampai setengah botol.
Datangnya sekaligus, bersama kesakitan di mata membawa ke kepala, datang menyampuk dengan demam-tak-kebah. MIGRAIN. Begini rupanya. Begini rasanya. “Nikmat” menjadi pesakit.
Syukurlah, saat-saat diserang hingga tubuh rasa tak berdaya langsung begini, ana berada di samping keluarga. Walau pun sedih dan kecewa tetap ada saat tersungkur pada kertas terakhir Biokimia. Terngiang-ngiang lagi bicara guru bahawa kami belajar untuk peperiksaan. Bahawa kami tidak beroleh satu apa pun.
Mungkin ucapnya bagai satu jenaka pada yang lain. Mungkin jua tidak memberi kesan pada sesetengahnya. Mungkin juga tidak berasas pada bijak pandai kelas ana. Tetapi, ucapan itu merobek hati ana. Seperti sembilu, saat itu ana berjuang menulis dengan gigil sungguh-sungguh bersama sebu angin hujan di luar dewan. Bersama seribu zikra : Tuhan tak mungkin menganiya umat-Nya! Ana panjatkan doa seperti 3 pemuda terperangkap dalam gua bersama seribu harapan. Subahanaallah. Tuhan sajalah yang mampu menolong.
Benar, sudah tewas kerana kelalaian. Ketidaksungguhan. Kerana alpa bahawa pada bila-bila masa sahaja Dia berupaya menarik segala nikmat yang ada.
Jadikan ini sebagai pengajaran. Kini, debur rasa tak dapat ditahan. Tuhan, berilah bantuan.
Rasanya terlalu lelah..
kita peduli?
Alhamdulillah. Ana sudah boleh melompat-lompat dengan riang. -_- Barangkali kerana kesenangan segar melilit diri, maka kesakitan yang sedikit pun mahu diwar-war. Maafkan ana. Kadang kita memang mahu diambilberat dan diambiltahu, walaupun hakikatnya tiada siapa yang peduli.
Manusia memang sukar untuk mengambil tahu, ambil peduli. Selalunya yang diambil berat pasti berkait dengan kepentingan diri sendiri. Samada yang bakal mendatangkan hasil, ataupun berkait dengan buah hati yang tersayang. Jarang ana ketemu yang benar-benar mahu ambil tahu. Yang ikhlas hatinya kerana Allah. Bersahabat, bermesra, suka dan duka. Yang ada, hanyalah sahabat tatkala senang, bila susah datang mengetuk pintu kehidupan, sudah tidak ada lagi yang setia. Yang setia hanyalah air mata. Namun, ada jua yang ana ketemu akhlaqnya bagai mutiara. Sapanya mententeramkan jiwa. Ana tidaklah sekejam atau sepasif mana untuk melabel dunia sudah pupus kasih-sayang.
Lontarkan ruang lingkup ini jauh-jauh. Mungkin ini isu kecil yang tidak ada kena-mengena dengan kehidupan seorang pejuang. Mungkin kita mahu berbicara soal yang lebih BESAR. Kita mahu berbicara soal Palestina yang berdarah berpuluh tahun lamanya. Atau betapa biadab dan baculnya Geert Wilder dengan filem Fitna. Atau soal DARFUR yang terus-menerus ditekan. Atau kekecohan yang tak henti-henti meletus di Iraq. Atau sakitnya saudara kita dianaktirikan di wilayah Pattani.
Atas dasar apakah sensitiviti kita sebagai umat islam tersentuh apabila Islam;agama suci, deenul haq diperkotak-katikkan? Ataupun jika tak terasa diri sebagai muslim sekalipun, adakah rasa perkemanusiaan itu menjentik? Rasanya terlalu lama derita yang ditanggung. Rasanya terlalu dalam luka dan dendam. Kuffar laknatullah masih belum puas. Butakah? Butakah mereka pada darah yang membuak dari betis mulus si anak kecil? Tulikah telinga mereka pada jeritan manusia yang menyiat-nyiat jiwa?
Atas dosa apakah? Atas kesilapan apakah?
Mungkin kerana dari dalam diri. Kita belum ada cukap rasa ingin tahu dan ambil peduli. Contohnya mudah, ada pada oarng-orang sekeliling. Mungkin mata kita terlalu sepet. Atau mungkin fahaman materialistik telah lama dimamah jati diri.
—-
Tentang FITNA
Seorang ahli parlimen Belanda, Geert Wilder telah mengeluarkan sebuah filem berjudul Fitna, yang menggambarkan bahawa punca keganasan pada hari ini adalah Al-Quran. Dia sebelum ini telah mencadangkan AQ diharamkan dan menyamakan AQ seperti ideologi Nazi. Beragama Roman Katholik dan pernah berjuang bersama tentera Israel. Dia juga pernah menyarankan kepada umat Islam supaya mengoyak AQ jika mahu tinggal di Belanda. Juga pernah menyatakan jika Rasululullah masih hidup, baginda akan disenaraikan sebagai pengganas.
Antara barangan yang dikeluarkan Belanda:
Barang-barang elektrik Phillips
Royal Friesland Food, DutchLady
Unilever, Walls, Lipton, Knorr, Vaseline, Sunlight, Rexona, Lux, Ponds, Close-up, Dove, Comfort, Cif, Doriana
tuai padi antara masa
Rupanya masa terlalu deras alirnya. Membawa bersama memori suka duka. Terlalu banyak rupanya yang telah dicoret pada diari hidup. Nampak secara lahiriah tidak ada apa-apa, tapi jiwa inilah yang selalu merindui yang telah berlaku dan menangisi memori yang tidak mungkin dapat diulang itu. Seperti janji-janji, tawa dan senda bersama ikatan yang tulus. Atau hangatnya apabila diambiltahu dan diambilberat. Dan rupanya jasad ini memamah derita dalam senyap. Kadang apa yang kita gentar itu pasti akan tiba jua akhirnya. Hanya dalam keadaan bersedia atau tidak. Sesungguhnya taqdir Tuhan sangat hebat, tidak mungkin seorang aku berjaya menolaknya dengan kedua telapak tangan ini.
Mahu sahaja menulis yang lebih berat. Ana akui banyak posting sebelum ini berbaur perasaan. Emosi ketika kurang sihat begini mungkin lebih membuak-buak berbanding ketika sihat.
Selama mana berdiri pun, teruslah teguh dan tekal. Sesaat nafas boleh dihirup lagi, berbaktilah. Berbudilah…
mahu
Menghabiskan cuti-cuti selama tiga bulan tanpa sebarang aktiviti mungkin boleh membunuh ana dengan penyakit kebosanan. Tiga bulan adalah tempoh yang cukup lama. Apatah lagi dengan hari-hari yang penuh dengan kesibukan sebelum ini benar-benar mengajar erti masa. Buku-buku yang diborong tempoh hari akan habis juga dibaca sebelum tiga bulan berakhir.
Abah sudah berkali-kali mengajak ana meninjau dan menguruskan kebunnya. Mungkin ana lebih teruja untuk berkenalan dengan dua ekor anjing penjaga kebun- si “Bush” dan ‘Clinton”. Tok di kampung [Langkawi] pun pastinya sedang menunggu kepulangan ana, menghabiskan masa bersama-sama. Sungguh ana amat-amat rindukan tok. Masa pun kian santak. Kenangan adalah pengubat rindu yang paling manis. Cumanya, keadaan kesihatan masih tidak mengizinkan lagi. Ana masih pening-pening tak tentu hala, bimbang pitam dengan terik mentari Pulau Langkawi.
Mama pula dengan sabarnya mengajar memandu. Lesen yang diperoleh ana boleh dikatakan lesen nasib baik. Pemergian abah dan mama ke Baitullah cuti sekolah ini bakal meletakkan satu tanggungjawab mengurus rumah. Tambahan adik akan menduduki peperiksaan tahun ini. Azam mahu menikmati kalamullah dengan sesungguhnya juga moga-moga bakal terlaksana. Ameen.
Selebihnya ana mahu menulis. Mungkin tempoh tiga bulan ini sebetulnya adalah tempoh ana berkurung dengaan puisi dan karya-karya sastera. Peluang ke Indonesia awal Mei harap-harapnya akan memberi sedikit ide. Kisah cinta lagi? Mungkin ana akan fikirkan kata-kata Safiah;
” Wani, tolonglah jangan buat kisah cinta lagi.” Ah, cinta dan hidup seorang Hazwani tidak mungkin dapat dipisahkan. Kerana ana hidup dalam cinta. =) Pertemuan dengan Faisal Tehrani dan A. Samad Said tempoh hari sedikit sebanyak menyuntik semangat mahu menulis. Kehadiran Busra, turut mengagau kembali rasa ingin itu.
Terlalu banyak lagi aktiviti yang ingin ana laksanakan, selain mahu ketemu sahabat-sahabat di zaman persekolahan dulu. Ummi Kalsom, Fathiyah dan Adlina. Masih ingat lagikah saat kita bersama-sama menangis dan bergelak-tawa? Sungguh ana rindukan harum ukhuwwah. Juga mahu menghubungi sahabat “Psyclops”-tentang forum BPI SMKAK: “Mahu kuburkan begitu sahajakah?”. Tolong hubungi ana. Sahabat-sahabat maya yang lain, ada persoalan yang sejak dahulu bersarang dalam ingatan hingga kadang menganggu ana- Erti persahabatan seperti sehelai kertaskah? Diconteng sehingga kotor dengan segala memori kemudian dicampak ke bakul sampah? Atau hati seorang Hazwani sememangnya adalah sampah?
Pohon kepada Allah, cepat-cepat diberi kesihatan yang baik. Ameen




