sufiyyah~


Doa

Ana pohon doakan kesihatan dan kesembuhan ayahanda sahabat ana, Siti Nur Hafullah yang menderita buatan orang. Jazakallah.

Juga takziah kepada keluarga sahabat ana; Ummu Habibah Mokhtar atas pemergian neneknya ke rahmatullah selepas menunaikan umrah.


Khairul Ahlam

Sebetulnya, jari-jemari yang ana miliki ini ingin benar untuk menari-nari di atas papan kekunci. Ataupun terus-terusan melakar di atas kepingan-kepingan kertas demi mengotorkan kesuciannya dengan pena berdakwat. Malang sekali, kemalasan merantai dengan amat kejap. Culas juga dengan segala idea yang datang menderu-deru hinggakan idea lesap bagai angin lalu. Sedangkan sebagai individu yang mahu menjadi penulis yang serius dalam lapangannya, yang menjadi teman paling setia adalah buku nota kecil dan pena untuk menulis di mana-mana , pada bila-bila masa atau dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Sekarang ana sedang menghabiskan pembacaan novel Ketika Cinta Bertasbih 2 yang baharu sahaja dibeli di toko buku semalam. Seperti biasa karya Habiburrahman jarang mengecewakan kerana perisanya cukup dan empuk sekali untuk diratah. Lazat dengan aroma islamikanya yang sudah cukup untuk mengenyangkan jiwa yang lapar!

Barangkali ana ingin memulakan corat-coret dengan begini:

“Sungguh kumerinduinya. Kumerindu dengan sepenuh jiwa lalu kubiarkan titis-titis rindu itu bersatu dengan zikra Tuhanku. Biarlah bibirku menuturkan hamdallah kepada Tuhan atas segala rindu yang dihadiahkan-Nya kepada hamba-hamba sepertiku. Biarlah bibirku berseri dengan pengakuan bahawa aku adalah manusia naif yang menggesa taubat dari Tuhan dengan lafaz Astaghfirullah. Tatkala ribut rinduku menggila dalam sendu angin sebu yang menderu-deru, kulafazkan; ma fi qalbi ghairullah.

Namun, padaku sebagai wanita yang punya perasaan pada harum keringat pahlawan berlainan jenis dariku, masakan dapat kutentang sentuhan pada hatiku yang berombak. Bahagian hatiku yang diseru dengan namanya adalah qalbuku. Tempat tersimpan jejak-jejak kenanganku bersamanya.

Dalam hidupku, ku tidak pernah mengimpikan sesusuk tubuh gagah yang datang menunggang kuda putih lalu menghadiahi ku setulus kasih. Juga aku tidak pernah mengimpikan seorang kekasih menyaluti tubuhku dengan intan permata yang mengerdip bagai bintang pada malam yang kelam. Yang muncul pada ingatanku adalah seorang imam yang bakal mengimami solatku, ibadahku, hidupku dan matiku dalam redup pandangan Tuhan. Seorang kekasih yang menyayangiku kerana ikhlas kasihnya kepada Ilah. Seorang sahabat yang mendengar dengan mata hatinya yang tidak buta. Supaya nanti, saat kami terumbang-ambing mengemudi pelayaran rumahtangga dalam ribut yang menggila, tidaklah kami turut lemas, karam dan tenggelam dalam lautan rasa.

Begitulah impianku. Kerana itulah namanya meniti dalam titian hidupku. Namanya moga-moga bakal menjadi obor yang menerangiku untuk menggapai kemuncak segala impian yang pernah aku impikan dalam pelayaranku, yakni bertemu Tuhan tanpa hijab dengan rahman dan rahim Penciptaku. Segaris namanya bersatu dengan zikra rindu pada Tuhanku; Khairul Ahlam.”

Titik.


Muhasabah 3

Semester baharu bakal menjengah. Bermula lagi hidup pada halaman putih bersih yang meminta coretan tentang kisah-kisah, samada perit atau jernih untuk dikenang dan menjadi nostalgik.

Seperti biasa, permulaan semester baharu menandakan ana baharu selesai menjalani semusim lagi pengajian di kampus. Bermakna ana sudah dimaklumi prestasi sepanjang dua semester di kampus Kuantan. Prestasi yang diukur melalu GPA dan CGPA [kumulatif] adalah dasar pendidikan dalam penentuan kejayaan akademik mahasiswa. Ternyata, ana masih belum mampu mencapai sasaran yang diidamkan lagi sepanjang berada di sini; berada dalam senarai dekan. Begitupun, ana menginsafi bahawa untuk memperoleh banyak perkara yang diidamkan pasti menuntut iltizam dan daya juang yang tinggi. Juga memaksa diri menjadi perancang masa yang baik

Pada saat sahabat-sahabat lain boleh mengisi senggang dengan cerita kegemaran mereka atau saat mereka bergembira dalam rancangan berjalan-jalan melihat sekitar ibu kota, pada saat-saat itu ana harus berkorban kerana besarnya cita-cita. Tidak dikurniakan akal yang cerdik dan tidak pula mudah menangkap dengan cepat, membuat diri ana faham dan tahu sesungguhnya peruntukan masa demi pelajaran sangat mendesak. Walau bagaimanapun keinginan untuk aktif dalam lapangan lain juga menarik-narik, kerana sebelum ini ana tidak memperoleh peluang sebegitu rupa.

Betullah kata cerdik pandai, untuk berjaya yang diperlukan hanyalah semangat. Jika semangat pudar, cita-cita pun akan pudar. Tetapi, jika semangat sahaja yang melonjak-lonjak namun disiplin dan daya gerak tidak wujud, hasilnya pasti tidak menjadi. Fokus dan tahu bertindak pada titik masa yang tepat dan cekap membuat pilihan, pada fikiran ana adalah formula kejayaan.

Begitulah muhasabah diri yang naif. Moga-moga tidaklah seriuh ayam betina tatkala bertelur atau sehangat najisnya sahaja!


Cuti yang hampir berakhir

Alhamdulillah ana berjaya memperoleh lesen L motosikal semalam. Walaupun sampai lebam-lebam akibat terjatuh dan ditimpa motosikal serta dijerkah anak manja oleh jurulatih kerana tidak pandai menghidupkan motosikal. Huhu~ 

Agaknya kerana kesakitan bersilat lebih terasa peritnya dan kerana keberanian yang dipupuk sewaktu menyertai latihanlah yang membuat air mata tidak menitik. Juga hati tidak berasa sebal dan bebal dimalukan di hadapan lebih 30 orang. Alhamdulillah. Hikmah Tuhan merata-rata. Tinggal kita sahaja mahu mengutip atau tidak.

Ana berharap sangat dengan kehadiran skuter baharu yang dihadiahi abah akan memudahkan urusan di kampus. Skuter EGO kecil warna biru gelap second hand bersama raga yang comel bakal menjadi teman paling setia nanti. Alhamdulillah. Dengan keadaan dan perkhidmatan terhad yang disediakan pihak kampus, kenderaan yang dimiliki boleh menjimatkan masa dan tenaga. Juga amat berguna jika kuliah berlangsung pada hari Ahad atau kuliah malam. Dan skuter itu bakal menjadi penolong saat-saat berada dalam kecamuk program yang bertali-arus. Juga, moga-moga skuter comel itu bakal menjadi penyambung antara hati-hati; ana dan sahabat.

Semester baharu akan bermula tidak lama lagi. Tinggal 2 minggu bersama debaran yang kian rancak. Juga bertimpa-timpa perancangan untuk musim baharu. Tentang program GASS ‘08 yang akan meraikan adinda-adinda [KOS]Kulliyah of Science dan urusan membeli buku-buku baharu untuk sahabat-sahabat [jika diminta]. Juga permintaan kakak naqibah yang telah ana persetujui. Ana juga berharap sangat dapat menyertai Seminar Perbandingan Agama [ajakan sahabat] dan konferens di ym bersama-sama sahabat di Timur Tengah 15 Julai ini [rujuk: mohd.zaki.m.noor@gmail.com].

Begitulah. Pasti ana merindui saat-saat “bersenang-lenang” di rumah sepanjang cuti 3 bulan ini. Juga pastinya ana akan merindui kelembutan bulu Si Gemuk. Hmm..


tart gulung jem nenas yang lazat!