Ucap Selamat yang Berganda-ganda!
31 Ogos, 1 September dan 3 September. Ketiga-tiga hari yang mendatangkan sejuta erti.
Hari-hari perayaan. Bukan sekadar lilin, ucap selamat, laungan kegembiraan atau jamuan makan yang mewah melimpah.
Signifikan Hari Kemerdekaan negara kita 31 Ogos yang jatuh pada hari sebelum umat Islam mula melaksanakan puasa [insya'Allah], bererti satu takah kemerdekaan bangsa bersambung dengan kemerdekaan jiwa manusia. Merdeka daripada kepesongan jati diri seorang Malaysian dan merdeka daripada kepesongan iman seorang Muslim.
Juga hari lahir ana yang jatuh pada bulan Ramadhan ini, moga-moga diberkati Allah S.W.T.
Amen. Amen ya Rabbal’alamin.
Ramadan: Sekolah jiwa di perbukitan Tuhan
Ramadan: Sekolah jiwa di perbukitan Tuhan
Rumahku di lembah penghambaan ada
Syaaban yang mahu pulang ke pangkuan Tuhan
katanya puas sudah meneguk ihsan,
rumahku di lembah penghambaan ada
Ramadan datang mendepang tangan,
senyumnya segalak senyuman adik
menarik-narik.
Khabar Ramadan:
sekolah jiwa di perbukitan Tuhan
dibuka lagi,
terang-benderang silaunya
bakal menabrak hati-hati yang mati,
tentulah berkecipak titik-titik hitam menitik
sucikan hati.
Lalu bicaraku terkulum menjadi
tangis rindu menitis melaut,
seperti segara misk semerbak tiada tara
dengan wangian Ramadan tatkala ia
melepaskan sayapnya,
sebak, jiwaku jadi sebak meracau
alunan astaghfirullah,
menyembelih nafsu yang mahu menjilat-jilat
keinginan yang lazat.
Di sekolah jiwa perbukitan Tuhan,
dinihari yang dingin beku mencair dengan hangat qiam
-rukuk sujudlah tiada henti,
subuh berbalam dilantun pejal
zikir asyik kepada Rabb bergumpal-gumpal,
seperti kicau burung kecil yang melayah
menembusi tubir langit dengan gagah.
Saat mentari hampir gelincir di jalanan senja,
bantulah ingatan yang sudah nyanyuk kerepot
bahawa diri: lama benar tidak berkongsi sepatu kasih,
dalam diam berilah dengan erti mendalam,
seketul udara pun boleh dikongsi bersama
buat pembuka selera.
Zulmat malam bersambung dengan apung
taranum tak berpenghujung,
seperti mahu mereneh aksara khayal pekat
dalam renungan bening Tuhan
yang sejernih bintang.
Di sini,
di sekolah jiwa perbukitan Tuhan,
ada Ramadan yang mahu mengajari erti
perkongsian payung rahmat
dalam hujan lebat dan kilat yang mengoyak langit silam,
supaya manifestasi cinta Rabb
‘kan kembali mentakhlik putik bunga
yang bakal mengelopak kembang di kaki pelangi budi,
setelah ribut dosa terhenti.
Wardahputeh,
UIAM Kuantan.
malu
malu,
malu dengan diri sendiri
tak tahu malu.
malu,
malu dengan Rabbul Izzati
yang mencipta hati
al-fatihah
Al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Hasan Don yang kembali ke rahmatullah pagi tadi kerana sakit darah tinggi.
Ana terkilan amat kerana tidak menziarahinya selepas SPM 2004 hingga sekarang. Walaupun pernah menziarahi guru-guru beberapa kali di sekolah, kelibatnya tidak ana ketemu. Betapa ana kesali. Kata sahabat, nama ana disebut-sebut arwah jika bertemu dengannya. Bertambah-tambah kesal dan sedih di hati ini.
Buat guru yang amat ana hormati, tidaklah dapat dibalas jasamu, sehingga ke takah ini mampu kuberlari…
Rahmatillah ya Allah.
Guruku, guruku yang berbudi dengan ikhlas kepada pertiwi. Guruku, guruku yang mengajar agama hingga hatiku tidak buta. Guruku, guruku yang tersenyum mesra mengubat lara. Guruku, guruku yang menghambur mutiara buat bekalan jiwa.
Terimalah ya Allah, jasa-jasanya. Jauhkanlah siksaan kubur dan api neraka terhadapnya, lapangkan tempatnya, dan bangkitkan dirinya di tempat paling terpuji. Pertemukan kami di antara tempat-tempat yang terindah dan di antara masa-masa yang paling lapang dalam pandangan-Mu yang bening pada hari pembalasan.
Ameen. Ameen ya Rabbal ‘alamin.
2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun

Berubah angin hujung minggu ini. Jom, kita sama-sama ikut melihat
“2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun”!
Selain mahu melihat karya FT yang amat ana senangi, pemergian ke sana adalah untuk menemani sahabat berjumpa dengan doktor giginya di Titiwangsa pada pagi Sabtu. Sementelah, ana punya masa senggang petang Jumaat bersambung hari Sabtu, sebelum pulang ke Kedah malam Merdeka. Insya’Allah akan bermalam di rumah sahabat sekamar di Bangi.
Ternyata kisahnya bernuansa politik. Sebetulnya satu persembahan teater satira politik. Ana hanya mahu meneguk sesuatu yang baharu. Juga ada Meer Akungantaro dan Rudy Bluehikari: dua nama yang berbekas dalam ingatan semasa kecil, sekitar belasan tahun semasa baharu berjinak-jinak dengan internet. Dua nama yang tidak asing dalam dunia blog. Tidak sangka ana akan bertemu mereka dengan cara begini!
Berharap segalanya akan berjalan lancar. Lebih-lebih lagi ada orang mahu belanja [sengeh lebar].


