Amanah
Bercakap tentang amanah.
Apa itu amanah?
Tak pernah tahu apa itu amanah?
Meneruskan peniruan di dalam peperiksaan kerana tidak ditegur lecturer?
Meninggalkan kerja yang telah diamanahkan untuk dilakukan kepada orang lain sedangkan diri bersenang-lenang di rumah bercuti?
Memberi seribu satu alasan sedangkan diri penuh masa senggang untuk tidur?
Jika memperoleh anugerah dekan dan pencapaian itu dieksploitasi untuk gaji yang lumayan?
Sucikan ganjaran yang diterima sewaktu bekerja nanti?
Darah daging yang terbentuk nanti bersihkah?
Hidup dan bernafas dengan geri tidak amanah akan diredhoikah?
Yang paling penting sekali, doa orang yang telah dizalimi itu!
Tidak terfikirkah akan membebankan orang lain dan terbeban di hari akhirat?
Sampai bila lagi hendak berubah?
Takut

Pernah ana dengar pesan jangan menangisi taqdir kerana kesedihan adalah salah satu cara syaitan merosakkan manusia. Juga pernah ana dengari, jangan membuat apa-apa keputusan tatkala minda diselubungi kesedihan dan kemarahan.
Tetapi ana gemar sungguh untuk melarikan diri.
Takut dengan kesakitan berhadapan dengan ujian.
Takut untuk memilih jalan pengorbanan.
Takut untuk melapangkan dada.
Takut diri tak dapat menahan emosi lalu meletus segala kejian dan cercaan.
Takut.
Takut berhadapan dengan jalan hadapan yang berkabut.
Takut.
Belajar di Madrasah Ramadan
Alhamdulillah. Pagi ini ana berpeluang menghadiri majlis tazkirah kendalian Br. Azman. Seingat ana sudah 2 tahun ana merindui laman ini. Laman tazkiyatun nafs yang benar-benar menyentuh hati.
Madrasah Ramadan
Ramadan tinggal 16 hari lagi. Sisa-sisa hari yang tinggal ini, tidak wajar dipersiakan. Inilah madrasah, sekolah buat jiwa manusia dalam membina kembali tiang iman yang telah menjadi puing-puing yang berterbangan. Inilah madrasah, yang ada silibus berterusan untuk membina tapak kepercayaan pada Islam supaya teguh menahan diri dari maksiat dan dosa.
Di madrasah Ramadan pelbagai acara dan program telah disediakan. Pada siang harinya bersahur dituruti dengan puasa dan kemudian ditamatkan dengan iftar. Pada malam harinya ada solat terawih dan qiamulail. Hari-harinya diisi dengan alunan tadarus al-Quran. Banyak amat untuk menjadikan kita terlalu sibuk. Namun demikian cukupkah jika mengikutinya?
Ramadan Sekolah Tarbiyah yang Punyai Roh
Kita berpuasa, tetapi masih tidak mampu menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang Allah. Kita mendirikan solat, tetapi tidak mampu untuk khusyu’. Kenapa? Mengapa?
Kerana kita tidak mengikutinya dengan bersungguh-sungguh. Kita tidak cuba memahami silibus yang disediakan dan kita tidak mengamalkannya dengan ikhlas. Maka jadilah Ramadan medan sia-sia, lapar dan dahaga.
Ramadan ada proses, bukan sekadar program
Ramadan bukan menyediakan program yang berterusan sahaja, tetapi juga ada menyediakan proses. Proses yang tersirat. Proses yang hanya mampu dicapai oleh orang-orang yang mahu.
1. Taubah
Bertaubat seperti yang kita sedia maklumi, adalah pintu masuk menemui Allah. Kembali kepada Allah. Bertaubatlah di bulan yang mulia ini supaya mendapat keampunan Tuhan. Allah membentangkan ‘tangan’-Nya untuk memberi keampunan siang dan malam. Ampunan-Nya melebihi dosa yang pernah kita lakukan. Untuk bertaubah pula kita perlukan:
*ilmu: Supaya kita mengetahui bahayanya dosa jika tidak bertaubah. Kata imam al-Ghazali, dosa adalah penghalang kita dengan Tuhan. Kata Aisyah r.a: Kami memandang dosa seperti gunung di atas kepala yang hendak menghempap. Sedangkan kita pada hari ini kebanyakkannya memandang dosa seperti lalat.
Dosa yang tidak diladeni dengan taubah akan memakan roh. Roh yang sakit dan tidak berfungsi inilah yang menyebabkan tidak khusyu’ dan tidak ikhlas dalam amalan. Bacaan al-Qur’an terasa membebankan, solat di awal waktu terasa menyusahkan dan kekhusyukan tidak dapat dicapai dalam solat.
Sehingga ke tahap ini, kita wajib memaksakan diri supaya merasa sakit apabila dosa menyentuh. Tinggalkan dosa dengan taubah.
*kehendak yang mantap [iradah]: Ilmu yang disulami iradah akan menghasilkan amal yang hebat sesuai dengan himmah/cita-cita yang tinggi.
*kesengajaan: Kesedaran yang tinggi bercampur dengan kefahaman dan ikhlas.
Terdapat 4 pembahagian hamba-hamba yang bertaubat:
1. Membuat dosa, lalu bertaubat dan mengulanginya dan bertaubat semula berkali-kali. Golongan ini adalah golongan yang berbahaya kerana mereka tidak melakukan taubah secara sedar. Penamat yang tidak baik [su' khatimah] tidak bebas daripada mereka.
2. Membuat dosa dalam keadaan tidak sedar, lalu bertaubah.
3. Membuat dosa dalam keadaan tidak sedar, bertaubah berkali-kali walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan lagi setelah itu. Inilah golongan yang dibeli Allah dengan syurga.
4. Bertaubat pada masa-masa tertentu. Contohnya ketika ditangkap basah.
Proses bertaubat:
1. Kenalpasti dosa. Senaraikan.
2. Menyesal. Berasa benci.
3. Elakkan jalan menuju dosa
4. Ganti dengan kebiasaan yang baik.
5. Merawat keaiban, contohnya riak, di dalam hati dengan tawadhu’.
2. Zikrullah
Zikrullah dapat dilaksanakan dengan pelbagai cara. Antaranya:
1. Suasana hati dan fikiran yang merasai Allah bersama kita.
2. Perasaan untuk dekat dengan Allah.
3. Tenggelam dalam zikir. Membaca al-Qur’an, zikir dan matsurat. Tadabbur ayat-ayat al-Qur’an selalu dan hafaz supaya suatu hari nanti dapat disampaikan kepada orang lain pula.
3. Tafakkur
Berfikir supaya keimanan kepada Allah bertambah. Rasai dengan hati dan kaitkan semua benda dengan Allah. Tafakkur terbahagi kepada dua:
1. Allah:
-penciptaan alam dan Pencipta
-Allah Maha Agung dan hebat
-Allah sumber nikmat dan rezeki
2. Hidup
-himpunan masa sebelum mati
-kita adalah makhluk yang sedang menanti hukuman mati
-fikirlah tentang:
a. tempoh ajal
-appoinment penting dengan malaikat maut
-umur di alam barzakh yang lebih panjang daripada umur di dunia, umur di padang mahsyar lebih panjang daripada umur di alam barzakh
-bekalan?
b. kedatangan mati
-tayangan keadaan kita di hari pembalasan
-cara jalan di padang mahsyar: dengan kaki, muka atau tunggangan?
-dosa/pahala yang akan jadi bebanan/bekalan?
Inilah sedikit sebanyak ilmu yang dapat ana kongsikan. Semoga ada barakahnya buat kita semua. Ameen.
Selamat belajar di sekolah Ramadan!
Mengurus ibadah
Segalanya kian lapang. Barangkali kerana barakah Ramadan. Ada 3 lagi peperiksaan yang bakal ditempuh, kuiz, assignments dan presentations. Insya’Allah ana akan pulang pada 23 hb ini sehingga 8 hb [berharap dapat panjangkan cuti sehingga ini].
Ramadan kali ini…
Ramadan kali ini kian kurang bisanya. Mungkinkah kerana hati kian kelam? Hati kelam seperti bicara Hasan al-Basri, sehinggakan tidak terkesan dengan maksiat dan dosa. Nikmat Ramadan di pusat matrikulasi dahulu terasa masih menyengat. Suasananya sangat hangat.
Usrah, tilawah, terawih dan qiamulail sememangnya masih hidup. Barangkali masih tidak cukup.
Pincang di manakah langkah kaki ini? Benarkah suasana mempengaruhi hati?
Tuhan, berikan ku kekuatan…
Teringat pesan ustaz sebelum menunaikan umrah 2 tahun lepas:
“Catit segala amal ibadah yang ingin dilakukan pada setiap hari. Kalau kurang ibadah, rugilah. Berada di bumi barakah Madinah dan Makkah al-Mukarammah jika tidak menyembah Yang Esa tidak mendatangkan apa-apa makna. Pahalanya berlipat kali-ganda!”
Berada d dalam madrasah Ramadan turut sama membias pahala yang bercupak-cupak. Terlalu cepat Ramadan berlari. Mungkinkah membawa rajuk yang panjang? Pintu hati Ramadan masih belum tembuskah?
Ya Rabb!
Benarlah, ana terlupa mengurus ibadah!
Impian
Sudah hampir memasuki sepuluh kedua bulan Ramadan. Begitu sekali waktu berlari-lari di hadapan mata. Pantas amat. Usia pun sudah menjejaki takah 21 tahun. 21 tahun sudah anakbonda dan ayahanda yang manja dan keras kepala ini menapak. Menginsafi bahawa 21 tahun usia, bermakna kematangan, kesabaran, emosi yang peka dan kefahaman tentang nilai yang semakin tebal.
Terima kasih buat bonda, ayahanda, adinda, dan sahabat-sahabat yang bermurah hati menghulurkan tanda ingatan sempena hari lahir ana. Juga, sepotong ucap selamat pun amat-amat ana hargai. Syukran Jazilan!
Sempena Hari Lahir ini juga, bertimpa-timpa perancangan jatuh ke dalam kotak fikir. Membuai dan cerlang dalam tajam impian yang masih jauh. Bemakna kerja keras patut diperah habis-habisan sekarang kerana waktu kian santak, masa kian renta. Terlalu banyak! Terlalu jenuh!
Impian:
Jangka dekat
- Melihat karya-karya yang tersiar di media massa, adalah seperti impian melihat karya sendiri tersiar di dada media.
- Menyertai Minggu Penulis Remaja 2008. Ini adalah peluang terakhir. Jika gagal, maka peluang akan lesap melayang.
- Menjahit
- Pakar memasak
- Stabil CGPA untuk genggaman 1st class honor
Jangka jauh
- Melanjutkan pelajaran ke luar negara, tamat phd pada usia 30 tahun.
- Mengeluarkan buku sendiri
- Masyarakat tahu tentang “wardahputeh”
- Jutawanita pada usia 40-an
- Hafaz al-Quran [Ya Rabb, betapa beratnya hafalan kitab-Mu! Izinkan aku...]
- Ziarah Turki dengan wang saku sendiri
Juga menjadi impian ana, untuk memberi sesuatu setiap hari. Memberi dengan kasih dan ikhlas setiap hari.
Ameen.



