Jiwa Mukmin Tiada Tekanan

Sudah berakhir 2 kertas. Tinggal 3 kertas lagi. Tiga kertas untuk subjek teras Bioteknologi. Tiga kertas yang bakal menentukan tahap ana semester ini. Sepanjang musim peperiksaan, ana sedari ana yang punya badan kurang stamina seharusnya lebih peka. Keadaan panas sejuk yang berganti-ganti sering melesukan badan. Juga mata yang sering lelah berjangkit pula ke kepala, lalu derita migrain menusuk.
Stress? Tekanan? Adakah ana terlalu bimbang? Barangkali. Tetapi ana tekal yakin bahawa yang dinilai Tuhan itu adalah usaha. Jika sudah suratannya, tidak ada kerugian yang muncul dari dalam diri. Bertungkus-lumus berusaha seolahnya ini perjuangan menuju ke liang lahad untuk bertemu Pencipta, bukan perjuangan untuk mendapat natijah A yang berderet-deret. Walaupun kejayaan akademik itu penting, ingatlah ia bukan segala-galanya. Berusaha sehabis baik. Sekalipun dalam menjaga kesihatan diri, juga adalah ibadah. Jangan pula lupakan hutang kita dengan rohani. Supaya hati tidak dicengkam kesunyian amat, berzikirlah dan congaklah dosa. Moga-moga Allah ampuni dan berikan petunjuk.
Bantuan dari Allah sahaja, tiada dari yang lain…
Punya ‘Totipotency’ Untuk Membesar
Kita harus berdoa
supaya
cekal
&
kuat
seperti
dedaunan
yang
punyai semangat
&
yakin diri
untuk
membesar!
-Plant Tissue Culture
*Totipotency: ability of single cell [in vitro] to regenerate to complete plantlet under appropriate conditions.
waktu kian santak

waktu kian santak
medan kian jelas
hati kian getir
usaha kian marak
semangat terus mengalir.
SELAMAT BERJUANG DALAM PEPERIKSAAN AKHIR!
Ingatlah, yang dinilai Tuhan bukan natijah, tetapi usaha mengharung mehnah!
Maluku benteng noda
Saat kaki menjejak ke takah 21 tahun, baharu diri tersedar, perjalanan yang telah ditempuh terlalu jauh. Teringat kata-kata dan bicara bersama-sama ’sahabat yang sedar’ dan menyayangi diri. Juga hari-hari bersama mereka. Ujian yang datang menguji hati, menguji tindakan dan menguji akal. Ikut logika akal atau bicara hati yang sudah merayu-rayu?
Zaman ini, segalanya sudah jadi tunggang-langgang. Ana kini berdiri di dunia yang tidak menyokong suasana yang solehah. Walau pun ana ada jemaah, ada usrah, impaknya masih belum kuat kerana ‘persekitaran terlalu senyap’. Tidaklah mahu disalahkan sesiapa atau apa-apa melainkan diri sendiri.
Hati pun sudah menjadi alah bisa, tegal biasa dengan dosa. Mahu kuat, mahu sibuk dengan aktiviti yang berfaedah, tapi nafsu merangkul kejap. Hiburan merata-rata, adab tidak dijaga, mata kian galak merenung, fikir makin kian menerawang menggapai impian dan diri kian jauh dari Tuhan. Yang biasa di mata masyarakat, tetapi sebenarnya maksiat sudah menjalar di hati ana.
Betapa, adab pergaulan ana makin menipis. Setipis jilbab anakah?
Betapa, senyum ana makin manis. Secantik perhiasan anakah? Tabarrujkah yang ana pakai sehari-hari?
Betapa, masa ana kian menindih seolah keberkatannya ditarik Tuhan.
Betapa, sukar sungguh ana ingin membuat keputusan tanpa pembabitan emosi dan perasaan.
Betapa, sukar amat untuk ana memilih jalan yang terbentang di hadapan.
Betapa, ana telah gagal menjadi cermin yang benar dalam memantul wajah hakikat dan Islam.
Jilbabku, jilbabku…peliharaku dari maksiat. Maluku, maluku…kuatkan dan cekalkan ku seperti mawar putih yang berseri tanpa noda dan durinya tetap tajam menikam. Ameen.
Barangkali Tuhan menarik nikmat itu kerana hati yang gemar maksiatkah?
