sufiyyah~


Selamat Tahun Baharu!

Pagi-pagi lagi mama sudah mengirim mesej (seperti selalu). Berpesan untuk berdoa sempena tahun baharu hijrah pada petang (selepas asar) ini.

 

Ini e-mail daripada adik ana, Husna (srihus@yahoo.com.sg):

Doa Akhir Tahun:

Maksudnya:   Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

 

Doa Awal Tahun:

Maksudnya:   Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

 

Sempena Maal Hijrah 1430 ini, moga-moga keazaman akan kian teguh berpasak dalam nubari.

Renungan dalam menggapai kejayaan (bidang apa pun):

1. Kehendak yang tinggi

2. Kesetiaan tak berbelah bahagi

3. Pengorbanan yang hebat tanpa sifat bakhil

4. Ilmu berkaitan sumber (AQ) dan iman yang teguh (kawal supaya sentiasa di jalan lurus).

 

Salam Maal Hijrah. ^_^


Kisah Adam

Pagi yang damai. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini ingatan ana disampuk sekeping nama. Teringat-ingat  sahabat lama semasa di SMK Agama Kedah dahulu. Adam Al-Anas. Barangkali sekarang dia sedang mencicip kecemerlangan bersama sahabat-sahabat baharu.

Adam Al-Anas, sahabat ana, pada luarannya nampak biasa-biasa sahaja. Dia barangkali salah seorang lelaki tulin yang pernah hadir dalam hidup ana. Kehidupan Adam pun biasa-biasa sahaja. Budak Kampung Mempelam di belakang sekolah kami. Lurus. Sederhana sahaja. Tetapi semangatnya yang menjadikan Adam luar biasa.

Barangkali kami menjadi akrab kerana ilmu. Saat masing-masing ralit, Adam sudah bangun menyusun langkah. Saat masing-masing bergelak tawa sambil mencicah roti kering di asrama, Adam tekun menelaah. Bagaimana ana tahu? Iyalah, selalunya bahan luar biasa atau tingkah yang pelik akan menjadi bualan ramai.  

Kata Adam, sewaktu cuti hujung tahun sebelum masuk tingkatan 5, dia sudah menghabiskan silibus Biologi untuk SPM. Tidak hairanlah kalau Adam asyik meraih A berderet-deret sewaktu kami semua mengeluh untuk berpuas hati dengan B atau C. Adam jugalah yang kadang-kadang menjadi guru kami, jika guru-guru sibuk bermesyuarat. Malahan Adam juga disuruh guru mengajar matematik tambahan di kelas adik-adik tingkatan 4.

Bukan ana tidak tahu, Adam pernah diuji dengan fitnah dan tohmah semata-mata kerana sifat diam yang dimilikinya. Saat kisah Black Metal jadi bualan ramai. Adam dituduh. Betapa jahatnya mulut-mulut yang merobek ketulusan hati seorang Adam.

Barangkali Allah mahu menunjukkan sesuatu. Adam bangkit. Adam Al-Anas, daripada budak sekolah yang biasa-biasa muncul jadi jaguh kerana ilmu.

Adam pernah cakap, sewaktu dalam kelas petang, dia di hujung penjuru kiri, ana di hujung penjuru kanan kelas.

“Kamu mahu jadi apa nanti?”

Balas ana sambil sengeh, “Doktor”.

Adam sengeh juga. Dia balas, “Saya mahu terjun dalam bidang Bioteknologi.”

Saat kami semua bertungkus-lumus membuat persediaan sehabis-baik untuk SPM, Adam sibuk menolong guru mengajar, menolong kami; kawan-kawannya dan menolong adik-adik yang dahagakan ilmu.

Tetapi kisah Adam tidak berakhir dengan indah selepas itu. Adam gagal merangkul anugerah pelajar terbaik sekolah. Adam gagal membuktikan bualan guru-guru. Sewaktu kami mengambil keputusan peperiksaan SPM, ana nampak Adam diam dan suram. Tetapi tidak berani menegur. Sewaktu itu hubungan keakraban agak longgar. Adam jadi jauh sejak jadi jaguh. Ana terfikir-fikir, mengapakah Adam seorang jaguh boleh tumpas?

Takdir. Barangkali Allah mahu tunjukkan sesuatu.Tetapi Adam sebenarnya tidak gagal. Adam tetap jaguh dalam pandangan guru-guru, kawan-kawan dan adik-adik di sekolah. Lama kemudian, ana dapat tahu Adam kini bakal bergelar seorang doktor. Adam mencatat kejayaan gemilang semasa di matrikulasi. Takdir Tuhan. Kami bertukar cita-cita.

Kisah Adam. Adalah kisah kejayaan yang tertangguh. Allah menguji hati dan pendirian seorang Adam, kerana Adam jaguh dalam memberi.

Terima kasih Adam.

 


Sabar

Selalunya, awal-awal semester ini, keriangan akan bertebar halus di langit persahabatan. Iyalah, sudah lama tidak bertemu. Sebulan lebih menghabiskan cuti semester. Namun, kali ini tidak. Langit berbau murung. Kalau ada pun senyuman, sekadar segaris senyum buat seorang sahabat yang sudah lama tidak ketemu.

Ana sedia maklumi sebabnya, kerana ana juga menerima tamparan yang sangat hebat. Benarlah Allah mahu menguji. Selepas segala usaha diperah-perah, air mata, tenaga dan wang ringgit, hasilnya tidak seperti yang dijangka. Allah, betapa hebat ujian ini pada diri ana yang naif. Air mata yang ditahan-tahan pun akhirnya tumpah jua. Apalah yang ada pada hati seorang Hazwani. Rapuh!

Melihat kesedihan kawan-kawan, ana berpura-pura menjadi kuat. Malangnya saat bersendiri, hati mudah benar goyah. Alhamdulillah, sahabat sekamar semacam faham. Disuanya pizza dua potong. Tenanglah sedikit rasa berkocak. Esok teman-teman mahu berpesta mandi-manda di Teluk Chempedak. Tetapi hati ini menafikan. Terlalu tawar untuk bersuka ria walau pun hampir semua kelas tidak bermula lagi minggu ini.

Apabila diuji Tuhan, diri mula menyusuri kembali jalan-jalan yang pernah dilalui. Barangkali kerana Tuhan mahu menilai iman atau Tuhan mahu menduga, supaya setiap patah kata-kata yang pernah dilontar dari dua ulas bibir ini dimaksudkan dengan amalan, bukan sekadar kata-kata biasa. Kata-kata basi, bicara tanpa pengalaman. Barangkali juga sebagai peringatan bahawa diri belum cukup bertungkus-lumus dan gigih.

  Aduhai hati, sabarlah.


Semester 2, Tahun 2.

Subjek-subjek semester ini:

  1. Philosophy of Sciences
  2. Basic Genetic Engineering
  3. Enzymology
  4. Biotechnology, Law and Ethics
  5. Protein Biotechnology
  6. Halal & Haram in Food Ingredients and Processing
  7. Parenting

Kata mama, nak jadi pensyarah kena dapatkan banyak A.

Insya’Allah.

Target:  3.8 CGPA.

Ameen.


MPR ‘08

 

Minggu Penulis Remaja 2008. Selesai. Semacam mimpi. Sekejap sangat rasanya. Pelbagai kisah.

Sebelum ke MPR ‘08.

Hati rasa sedikit gentar dan serabut. Safiah [MPR '06] sudah pesan awal-awal lagi: Baca karya penulis-penulis tanah air. Kurang-kurang pun yang terkenal. Ana harus akui tidak kenal sangat. Masa kecil-kecil dahulu ada juga baca karya Fatimah Busu dalam majalah Dewan Sastera kepunyaan mama. Tahu novel Salina karya A. Samad Said, pernah baca beberapa muka. Apabila mahu masuk MPR baru terkapai-kapai cari buku Sasterawan Negara. Dapatlah buku Arenawati sebuah. Apabila bertanya di toko buku DBP tentang Salina, pekerjanya pun tidak tahu. Habis ceruk toko buku dibelek-belek. Tak jumpa. Akhirnya ke perpustakaan negeri, tak jumpa juga. Padan muka.

Yang ana minati karya Fatimah Busu-ceritanya simple tentang suasana lokal. Mudah difahami. Banyaknya karya Faisal Tehrani. Kadang-kadang Zaid Akhtar, Habiburrahman, Mawar Shafie dan Ummu Hani. Kalau puisi ana suka nikmati karya Dharmawijaya, Kemala. Puisi Fahd suka juga. Ada nafas segar yang pelik. Buku En. Rahimidin pun ana ada baca. Apabila senggang, buku-buku puisi lah yang ana suka baca berbanding novel ataupun cerpen. Barangkali kerana puisi lebih pendek.

Kononnya nak print out semua karya yang pernah dibuat. Apabila dibelek-belek, ana rasa semuanya sampah!

Semasa MPR ‘08.

Banyak sangat sangat sangat benda yang dipelajari. Kalau dahulu ana agak terkapai-kapai untuk menilai puisi yang baik. Alhamdulillah, sekarang sudah belajar. Kata En. Shamsudin Othman: Puisi kenalah ada satu tema saja. Tak macam cerpen atau novel. Kalau cerpen/novel, lebih banyak persoalan lagi bagus. Puisi tak meleret-leret kata En Rahimidin. Habis sajak ana kena cantas. Barulah mata ni terbeliak sikit. Kalau dahulu suka sangat nak berjiwang-jiwang tahap dewa, tapi sekarang fikir dahulu sebelum nak cipta. Biar ada falsafah, bukan ‘falsampah’!

Kak Nas dan En. Saifullizan yang membimbing bengkel cerpen. Kak Nas memang nampak tegas. Waktu dia marah, rasa macam nak gugur jantung. Tapi ana tahu dia acah-acah sahaja. Tahu sangat kenakalan Kak Nas. Boleh tahan jugak.

Dia semacam teratai. Ulas bibirnya merah seolah rona teratai. Gerinya; gemalai teratai sewaktu dipuput bayu.

Kata kak Nas, biarlah yang baik memenangi perlawanan. Jangan biar yang jahat menang dalam cerita.

En. Saifullizan. Mula-mula ana sangkakan peranakan cina. [Betul ke?] Ana berasa terdorong dengan sokongan En. Saifullizan sewaktu nak buat cerpen pasal pelacur. Terima kasih banyak-banyak. Sebab motivasi dari dialah siap juga cerpen ala-ala satira bertajuk ‘Bukan Sundal’, watak ikan pelaga merah menyala yang ana pernah jumpa di Stesen Putra.

Ana juga dapat kenal kawan-kawan yang hebat-hebat belaka. Kak Radiah ASWARA, Zu ASWARA [buah hati Justin], Wahyuna yang baik, Faisal pendebat Alam Shah, Sheikhul Akbar Amir Hamzah, Hazizhzzzz [akak tahu rahsia kamu], Shida yang sempoi, Iqa yang manis, Hidayah yang sopan ala-ala ustazah, Misz yang lunak suaranya, Hidayah Johorian, adik Zulikha peserta paling muda, Nabila, Nabila v2, Azwien, Rashidah Singapura [sayap] dan Hidayah v2.

Ana dipilih masuk ke dalam kumpulan Sasterawan Muhammad Haji Salleh. Gempak! Gabungan fikiran kawan-kawan jadikan bengkel meriah. Justin budak ASWARA, ketua kumpulan yang ada aura. Anjing. Minat sungguh! Nasib baik tak jadi berlakon drama Anjing waktu persembahan akhir! Adik Rashidi, Penghulu MPR yang sopan, nampak karismanya menjadi pemimpin. Terbias karakter ‘budak sekolah agama’. Adik Adnie, mahasiswi Universiti Darul Iman/KUSZA, karyanya berlambak-lambak masuk surat khabar. Aktif juga bersukan. Sebab itulah dia lambat hadiri MPR, dua hari. Ana sebenarnya tertunggu-tunggu nak berjumpa Adnie. Nak berkenalan dengan penyair hebat! Juga adik Fariza Shahkina. Pelajar terbaik genre cerpen. Tak sangka, diam-diam ubi berisi.  Sekarang ana tertunggu-tunggu karyanya terbit. Tak sabar nak belajar! Akhir sekali adik Ilya yang manis. Sudah terbitkan 3 buah novel! Walau pun masih muda, 15 tahun, nampak sedikit biasan kematangannya. Novelnya ana beli dua buah. Menarik. Nakal!

Paling terkesan pastilah adik Raden Qurratul ‘Aini. Teman sebilik ana sepanjang MPR. Alhamdulillah. Ada juga yang boleh ingatkan kalau lepa. Seminggu bersama macam-macam dia tahu. Habis dibelek buku nota dan telefon selular ana. Nak marah, kasihan. Nak tenyeh-tenyeh, tak sampai hati. ‘Ain dah jadi macam adik kandung ana. Sayang sangat. Dialah jurucakap tak rasmi ana apabila ana blur atau ‘tergamam’. Dialah juga loceng penggera yang terlebih cas. Karakternya macam mahasiswi Al-Azhar. Tengok sajalah puisi-puisi ‘Ain, tak macam budak tingkatan empat pun.

Seminggu dalam MPR, ana rasakan seperti menghadiri kuliah di universiti. Malahan rasa macam nak hadapi peperiksaan akhir! Malam-malam bukan boleh lelap sangat pun. Kena baca puisi Baha Zain, nilai cerpen-cerpen termasuk cerpen Ustaz Azizi Hj Abdullah, siapkan 3 buah puisi dan sebuah cerpen. Ana sampai mengigau. Rasa tertekan pun ada. Bukannya apa. Kalau tak belajar dan bersungguh-sungguh rasa rugi sangat. Sebelum ni ana tidak dapat didikan secara langsung dengan ‘orang yang tepat’. Orang yang arif dalam bidang sastera ada di hadapan mata. Kalau boleh memang nak menempek 24 jam dengan mereka.

Terima kasih daun keladi juga buat urus setia, mantan, editor-editor dan penceramah-penceramah bengkel. Tak ternilai jasa. Nostalgia yang mengesankan!

Selepas MPR ‘08

Kembali ke universiti. Semester baharu.

Kata Azree, “budak Kuantan kena belajar sahaja.”

Safiah jawab, “ikut suka hati la!”

Hehe. No comment.

Apa-apa pun ana tak menganggap segala keistimewaan atau anugerah sebagai kebanggaan, tetapi tanggungjawab.

Semoga dikurniakan kekuatan untuk terus menulis…Ameen.