Sekotak Cinta
Sekotak Cinta
Mata malaikat
merenungku balik jendela
dan kepakan sayapnya
menyentuh mataku,
sewaktu kau mengetuk pintu.
Yang kau hulurkan
sekotak hati
dan sebilah pisau
untuk memotong jantungku.
Kucarikkan ia menjadi cabikan
dan percik darah
menyalut matamu.
-Wardah Puteh,
Indera Mahkota, Pahang.
[MM, 18 April 2009]
Log Kembara: Hari Kedua
HARI KEDUA: Mesir Bagaikan Mawar Yang Mengelopak Indah
Jam 6.50 pagi. 30 April 2009.
Telapak kaki saya mengenai bumi Mesir yang dingin dan sejuk semilirnya menikam tubuh saya. Sewaktu saya merasai udaranya, cahaya dari langitnya menabrak halus.
Perjalanan dari Malaysia menaiki Egypt Air mengambil masa 12 jam termasuk transit di Mumbai. Benar, kami semua digigit keletihan yang amat sangat.
Ketika sampai di lapangan terbang Kaherah, kami disambut dengan senyum wakil Misr Travel yang ramah; En. Kamal dan En. Badar. Sebuah bas sederhana besar sudah menanti. Sewaktu saya menapak naik ke atasnya, tanpa disangka-sangka, sekuntum mawar segar berwarna merah jambu dihulurkan tepat di wajah saya. Terkejut tetapi teruja, saya menerimanya dengan senyum juga. Betapa cantiknya silaturrahim yang cuba disimpul eratkan!
Saat bas bergerak menuju ke destinasi seterusnya, saya membuang pandang ke luar jendela. Di mata saya, Mesir ini seperti mawar yang baru dihadiahkan tadi. Apatah lagi apabila pertama kali melihat wajahnya sewaktu matahari mulai menebar pekat sinar keemasan.
Bas melintasi tugu-tugu. Bas melintasi kawasan kubur-kubur lama yang tampak seperti kota kematian. Bas melintasi benteng gagah binaan Salahuddin al-Ayubi. Bas melintasi nadi kehidupan Mesir; Sungai Nil. Bas melintasi beberapa buah masjid yang tersergam megah.
Pandangan saya tak mampu untuk menangkap semua. Semuanya kelihatan punya sejarah yang menyimpan kisah-kisah yang penting untuk saya selongkari dan teladani. Tetapi terlampau banyak seperti debu yang turut menyalut hampir seluruh Mesir!
Syukur.
Saya kini berada di negara seribu menara!
‘Wardah Puteh’ bukan sekadar nama gelaran
S. Tuahada ketika di Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 telah bertanyakan soalan-soalan yang sukar untuk ana jawab.
Katanya adakah ana muncul menjadi individu lain ketika penghasilan karya ana?
Benar secara peribadi, ana berasa tertampar dengan realiti, bahawa karya-karya ana tidak semua melambangkan diri ana yang sebenar.Walau pun begitu, karya-karya ana muncul dari suatu sudut peribadi yang paling dalam, yakni fitrah sukakan kebaikan.
Wardah Puteh telah abadi dalam diri ana bertahun-tahun lamanya sehingga ana cintakan panggilan itu. Ia bukan sekadar nama gelaran tetapi impian.
Wardah, perkataan bahasa Arab seerti dengan bunga mawar. Jadinya Mawar Puteh; mawar yang berwarna putih.
Puteh itu sebetulnya adalah putih, warna kesukaan ana. Selain sifatnya yang suci dan bersih, Puteh juga merupakan nama nenda ana, Puteh bt. Ahmad.
Mawar barangkali disukai ana kerana keharuman dan duri yang ada pada batangnya. Juga kerana kelopak-kelopaknya yang begitu halus dan lembut, namun sukar untuk gugur. Secara kebetulan, mawar adalah bunga kesukaan golongan sufi.
Sufiyyah nama blog ana terbit daripada minat yang mendalam terhadap keajaiban golongan sufi yang misteri, sejak ana dihadiahkan senaskah buku berkaitan sufi ketika berumur 9 tahun oleh mama sebagai hadiah ulang tahun.
Ketakjuban muncul saat membaca kisah-kisah Rabiah al-Adawiyah yang sangat tabah dan kecintaannya kepada Tuhan yang amat memikat.
Ia tidak terhenti setakat itu kerana detik-detik persekolahan ana yang perit;menjadi mangsa buli tanpa sokongan kuat dari mana-mana pihak, maka ana bertemu dengan Tuhan setiap kali berasa pedih dan sekaligus kononnya bercita-cita menjadi Rabiah al-Adawiyah.
Namun, diri Hazwani Husain sekarang tidaklah sesuci dan setulus seorang Sufiyyah atau Wardah Puteh. Wardah Puteh adalah impian, dan Hazwani Husain adalah kenyataan.
Kenyataan yang cuba dan ingin sekali untuk menyentuh impian.
Apa-apa pun, ana menulis sebagai satu fitrah dan alhamdulillah, telah dianugerahkan Tuhan dengan bakat. Maka, kerana hidup sebenarnya untuk mati bertemu Allah, saat menulis, yang terbayang di benak ialah Bagaimana mahu menebus segala dosa di hadapan Tuhan nanti?
Oleh itu, penulisan adalah saham paling bererti dalam hidup ana, kerana ana mencintainya sepenuh jiwa. Dan insya’Allah ia telah ditanam dalam diri untuk menjadi medan dakwah tanpa had, samada cerpen, puisi, artikel atau pun novel.
Doakan ana.
Log kembara: Hari Pertama
HARI PERTAMA
Matahari pagi menyebar lembut jingganya, menyapu wajah-wajah kami, menyapa matahati-matahati kami, sehingga bangkit rasa sayu dan bertuah kerana dipilih Rabb di dalam pemusafiran ini.
Hari ini, 29 April 2009, adalah hari bertuah saat doa-doa kami akan diangkat dan dimakbulkan Tuhan.
Saya melangkah membawa segara hati yang tenang tidak berombak, juga tidak terasa kemasinannya lantaran terlalu dalam segara yang saya miliki, juga kerana sudah terlalu lama dasarnya dibiar kelam kusam ditujah karang. Saya melangkah membawa cebis-cebis doa untuk saya tampalkan di dinding kaabah, juga salam kasih untuk saya laungkan di langit tempat bersemadinya Junjungan Mulia Rasulullah.
Sewaktu kenderaan beredar dari perkarangan rumah, di mata saya ada sebutir harapan supaya Allah menerima saya sebagai tetamu-Nya dan tetamu kekasih-Nya, keselamatan buat kami sekeluarga dan kemudahan untuk saya beribadah.
Perjalanan kami ke KLIA menagih masa 6 jam menaiki bas. Umrah ziarah ini dikendalikan oleh syarikat Asari Murni.
Sepanjang perjalanan, ada pemandangan sawah padi yang terbentang luas menandakan wilayah Kedah Darul Aman. Kadang-kadang bas melintasi gunung-ganang. Kadang-kadang ladang menghijau.
Saya yang sudah terbiasa dengan perjalanan jauh dari Utara ke Pantai Timur tak terdaya menahan kantuk.
Sekitar pukul 4 petang, alhamdulillah kami selamat tiba di KLIA.
