Katakan Tentang Hakikat

KATAKAN TENTANG HAKIKAT
Teman,
katakan padaku tentang hakikat
saat langit terlalu menekan
hingga pelangi kerap benar bertukar ungu
demi ingatanmu yang rapuh buatku.
Teman,
pernah ku cuba memahami hakikat
rupanya adalah sedetik sorakan
terhenti pada titik hitam di akhir lintasan.
Hakikatnya adalah
ombak yang tak mahu terus mengasihani
bahawa yang kita inginkan
adalah menerangi sebuah lautan
dan kerana bulan pun sudah tidak sudi
membenamkan sinar di celah tautan
jemari kau dan aku.
Khabarkan aku tentang hakikat
kalau benar bahagia sudah lupa
perlu lagikah kuraihnya?
-Wardah Puteh
Alor Star, Kedah
[Tersiar di Dewan Siswa]
~Terima kasih editor dan pengkritik, FT
Puisi ini dihasilkan kira-kira 4 tahun lalu, berkait dengan erti persahabatan.
Pelangi Bukan Bayang-bayang

PELANGI BUKAN BAYANG-BAYANG
(Catatan buat bumi Ahmadinejad)
Ada pelangi memutuskan langit
lewat Jun yang basah.
Resah pun bergumpal di mata mu:
hari suram waktu pelangi padam
dan langit akan luruh berkaca-kaca.
Engkau terlupa
ada matahari di hujung awan
mendakap langit penuh bahagia.
Sememangnya,
manusia selalu menyangka
pelangi itu bayang-bayang hujan,
tanpa matahari.
WARDAH PUTEH
Alor Star, Kedah.
[Tersiar di Berita Harian, Jun]
~Terima kasih buat sdr. Nazmi Yaakub
Catatan Silam Wardah Puteh: Jiwa, apa yang kau mahu?
Dari blog wardahsufiah.blogspot
bertarikh 27 Julai 2006
Entah kenapa.Tiba-tiba ana rasa seperti ingin menangis.
Semalam ana tak berpuasa. 1 Rejab. Bukan sebab ini ana ingin menangis.
Ketika pulang dari gym, ana terserempak dengan kakak Darul Quran. Ya, memang hubungan kami baik. Allah campakkan ana di kalangan mereka syukurlah. Dan rupanya salah seorang kakak-kakak ana itu jatuh. Lutut lebam, tanpa sebab. Ana mendesak, rupanya tersangkut dengan jubah sendiri di jalan yang rata. Ana cuba mengurut yang termampu. Dia tetap senyum. Akhirnya ana menunggu sampai masuk waktu, dan memerhati mereka berbuka bersama-sama. Tiba-tiba ana sebak.
Segala bercampur-gaul.
Entah kenapa, jiwa khabarkan pada aku..apa yang kau mahu?
Catatan Silam Wardah Puteh: Manusia
Dari blog wardahsufiah.blogspot
bertarikh 9 Disember 2006
Ana sebetulnya kurang gemar keluar dari matrikulasi ini. Keluar atas urusan apa-apa yang penting sahaja. Kerana paling utama soal masa. Kedua, soal wang( sekurang-kurangnya RM 10 akan terbang melayang). Dan akhir sekali kerana sesak. Manusia berasak-asak di dalam bas, di tepi jalan, di pusat membeli-belah…ah, merimaskan. Dengan haba panas. Habuk dan debu menyerbu masuk ke rongga hidung.
Tapi, ada satu yang ana suka.
Memerhati gelagat manusia.
Sebentar tadi ana baru keluar. Bersama sahabat kerana tiket pulang sempena Aidil Adha.
Usai kelas biologi di makmal pukul 11.30, kami buru-buru pergi. Tanpa kebenaran dari mahallah! Alahai, sanggup “mati” kerana sekeping tiket. Semasa hendak melintas pondok pengawal, kami jeling-jeling sahaja pak guard, bila dia tidak sedar, kami kalut-kalut memanjat bas nombor 12. ( Nakalnya kami! =p )
Hampir dua jam “dibakar” di dalam bas, kami akhirnya sampai di puduraya. Orang ramai berasak-asak. Kami terasa ingin pitam, dengan bahang mentari pukul 2 yang menggigit-gigit.
Kotaraya yang penuh dengan ragam manusia.
Selesai urusan kami. Terus sahaja menuju ke tingkat atas untuk menunaikan solat zuhur. Malangnya, surau terkunci!
Kami pun turun ke bawah. Membeli minuman penawar dahaga sambil duduk sebentar di depan puduraya. Seorang pun antara kami berdua, tidak biasa dengan tempat ini. Lalu kami buntu, hala mana yang harus dituju! Sahabat ana menghubungi kawannya, bertanyakan tempat untuk solat.
Inilah Negara islam kita!
Tempat solat pun susah nak jumpa.
Negara islam entah atas apa.
Tiba-tiba, datang seorang lelaki. Pemuda yang muda. Ana perasan dialah lelaki yang kami lintasi ketika di tingkat atas. Sebab rambutnya yang kusut. Bajunya kotor. Dia duduk jauh sedikit dari ana. Keluarkan sikat dari poket, berusaha menyikat rambut di hadapan dahi yang menutup mukanya.
Ana pegang air tin di tangan. Teguk. Terasa pahit.
Dia pemuda yang tegap. Dia pemuda yang pernah menjadi harapan agama. Dia pemuda yang islam “rindu”. Tapi…
Kerana apa ya? Ingin saja ana selami. Kenapa jadi begini?
Bila ana menoleh kembali. Dia sudah hilang. Ana pun tidak sedar. Dia pergi tanpa “suara”.
Ana teguk air yang tersisa. Melintas tiga orang anak muda. Melihat ana dan tersengih. Mungkin gaya ana yang kurang sopan? Tapi kurang sopan anak muda itu kerana berani merenung!
Kami kemudiannya buru-buru mendaki jejantas. Tiba-tiba pandangan ana tertangkap pada 3 orang manusia. Di atas jejantas. Dua lelaki dan seorang perempuan. Perempuan itu menangis! Dan dia dikelilingi dua lelaki.
Ah, jangan bersangka buruk!
Sepanjang jalan menuju ke bas (ke KL central), ada sahaja pengemis yang memenuhi satu-satu ruang. Dan kebanyakannya bangsa cina. Suasana asing bagi ana kerana tidak pernah melihat pengemis selain pengemis India dan Melayu.
Irama rancak. Berdentum-dentum dari pasaraya. Ana pandang langit, asap berkepul-kepul memenuhi langit mendung.
Seorang lelaki melintas dengan pakaian ranggi.
Seorang wanita melintasi dengan make-up tebal. Bibir merah menyala dicalit lipstick.
Seorang lelaki cina tua tersenyum simpul melihat ana mengomel bas tidak sampai-sampai sedang zuhur semakin suntuk.
Penari menari dengan irama rancak di KL Central.
Udara bingit. Sesak. Irama Melayu? Menyakitkan!
Manusia dan kotaraya yang sibuk.
Manusia yang kompleks.
Kotaraya yang berkecamuk!
Meniti mimpi-Hijjaz
Kau terdengar kicauan beburung
Yang menyanyi di dada pelangi
Kau menggapai awan di langit memutih
Dirimu lebur dimamah mentari
Kau impikan harapan menggunung
Di lorong hanyir kehidupanmu
Kau hirup sari madu bunga beracun
Mewarnai dunia misteri mimpimu
Kau calari setangkai hati ibunda
Yang menanti di bilahan hari-hari
Kau hitamkan wajah ayahanda
Yang mengharapkan sinar kehidupan
Kau terdengar kicauan beburung
Yang menyanyi di dada pelangi
Kau menggapai awan di langit memutih
Dirimu lebur dimamah mentari
Apalah yang hendak diharapkan lagi
Semua kini sudah jadi tak pasti
Bangkitlah segera dari mimpi ngeri
Pulihkan kembali sebuah harga diri
Sinar hidupmu tiada nyalaan api
Berlabuhlah di muara ini
Pasrahkanlah hidupmu
Ke lorong Ilahi
Di sana menanti
Syurga yang abadi
Di sana menanti syurga yang hakiki
Kau terdengar kicauan beburung
Yang menyanyi di dada pelangi
Kau menggapai awan di langit memutih
Dirimu lebur dimamah mentari
Sinar hidupmu tiada nyalaan api
Berlabuhlah di muara ini
Pasrahkanlah hidupmu
Ke lorong Ilahi
Di sana menanti
Syurga yang abadi
Di sana menanti syurga yang hakiki
Catatan Silam Wardah Puteh: Islamkah Anda?
Dari blog wardahsufiah.blogspot
bertarikh 19 Disember 2006
Ketika ana membaca novel Maria karya Emine, ana tidak menyangka ana akan berpeluang “berdebat” dengan bukan Islam tentang agama. Persekitaran ana, secara jujurnya terbatas dengan mereka. Apatah lagi selepas menyambung pelajaran di sini.
Maria, watak yang wujud di dunia ini, asalnya adalah gadis Kristian Katolik yang memeluk Islam setelah berdebat dengan seorang Muslim.
Segalanya menjadi lancar dan mudah. Alhamdulillah. Kami bermalam di Masjid Shah Alam petang Sabtu sehingga pagi Ahad. Masjid yang tegak megah itu benar-benar mengagumkan ana. Malang sekali, sunyi dan sepi masih menguasai ruangnya yang luas. Ke manakah yang lain?
Ahad pagi sesi “lakonan” dan tunjuk ajar “xifu” kami. Dan seterusnya kami terus menuju ke Sunway Piramid. Jam 12.30 tengah hari.
Dibahagikan kepada bebarapa kumpulan, ana memilih sahabat ana Fatimah. Ketika menuju ke Sunway, ana tak dapat menahan rasa kekok walau pun sudah biasa dengan mata-mata yang suka memandang. (kerana cara pemakaian tentunya).
Pertama sekali, kami menegur seorang pak cik. Parasnya menunjukkan dia India. Ana kaget. Buntu menyusun kata. Lalu dia berlalu begitu sahaja.
Kedua, ketiga, keempat, kelima, sehingga melebihi sepuluh orang….terus kami tegur dan sapa. Ada yang menerima, tetapi ada yang menolak kami. Akhirnya, kami terserempak dengan seorang lelaki Cina yang sedang “bersidai” di tepi jalan. Memerhati manusia yang sesak di ruang bawah. Jam 2.30 petang.
Hi, can you help us?
-Ok.
We are students from IIUM and want to ask you some questions.
-Ok.
Apa yang kamu tahu tentang Islam?
-Prophet Muhammad, khalwat…
Khalwat? Islam “didefinisikan” sebagai khalwat! Ana terus tanyakan apa yang masih kabur di pandangnnya tentang islam. Katanya:
1.Kenapa bertudung di waktu panas. Berbau.
Ana begitu geram ketika itu. Tidak sedar soalan ini yang meluncur keluar dari bibir:
Adakah saya berbau sekarang?
-Tidak
(Pastikan diri anda sentiasa wangi! Jaga kebersihan dan kekemasan.)2. Seksi? Hak setiap wanita. Bertudung hanya adab. (Saman yang dikenakan kepada perempuan berpakaian seksi di Kelantan juga dipertikai.)
Ana umpamakan coklat yang berada dia atas meja dan di dalam almari. Ana beri contoh dua kembar seiras yang berbeza dari segi pemakaian (seksi dan menutup aurat).
Mana yang akan diusik.?
-Tentunya yang berpakaian seksi.
Jadi?Sebab tu lah banyak kes rogol, zina..
-Yes, dan ramai orang melayu yang terlibat dengan sumbang mahram, rogol..
Anda tahu di China lebih ramai orang islam?
-Yes. Tapi itu bukan Negara islam. Sebab politik..
No, that’s not what I meant. The point is orang melayu bukan semua islam. Orang cina juga ada yang islam…
(Ah, pemuda Kristian ini terlalu berbelit. Sehingga ana sendiri pening untuk menyusun kata.)
3. Tujuan hidup? No idea.
4. Jihad.
Kalau bunuh orang awam akan dapat pahala. Baguskah?
-Ok. Palestin negara orang Islam. Datang orang-orang yahudi menumpang. Dan kemudian ingin kuasai palestin lalu bunuh orang-orang islam di negara orang islam sendiri. Elokkah begini?
Bukan salah sesiapa. Hak semua. Kami tidak boleh kutuk Israel. Dalam ajaran kami dilarang mengutuk mereka.
-Adakah ajaran ini fixed untuk Israel atau orang awam yang lain?
Yes. Untuk orang Israel sahaja.
-Saya dengar kandungan bible berubah-ubah. Betulkah?
Ya. Ini kerana ajaran paderi kami berlainan di setiap gereja.
-Anda tahu AQ tetap isi kandungannya sejak 1400 tahun lebih yang lalu?
Ye ke? Oh. Ok. Tapi mana tahu kandungannya tidak berubah?
Tika ini ana jadi kelu. Bagaimana mahu terangkan, ilmu ana begitu sedikit!
Sudahnya “perbincangan” kami tamat setelah 30 minit berlalu. Naskah terjemahan AQ (bahasa inggeris) di tangan tidak berkurang sedikit pun! (Semua menolak ketika kami hulurkan)
Ketika berlegar-legar. Kami terserempak dengan beberapa pasangan kekasih.
Ini realiti umat islam sekarang.
Lelaki dan perempuan duduk bert*nd*h p*ha.
Bila ditanya soal perang yang membabitkan umat islam.
Kelu.
Tidak ada ide katanya.
Tersengih sang lelaki macam kerang busuk.
Sang perempuan bertudung tunduk masam.
Ah, mengilukan!
Secara keseluruhannya, rata-rata yang ana soal, mengatakan islam agama yang tertutup. Yang tidak terbuka minda. Dan majoriti mengatakan semua agama sama. Ada juga sebilangan yang langsung tidak tahu-menahu perihal islam( selain islam sebagai agama).
Ana berpendapat, menarik penganut agama lain kepada islam adalah agak sukar jika mereka sendiri bukan penganut yang baik dalam agama mereka. Ini kerana, membuka minda untuk berfikir secara logik dan mendalam adalah kunci sifat ingin tahu.Tentunya, lebih banyak golongan intelek yang berminat dengan islam berbanding yang “hidup untuk makan, tidur dan bekerja.”
Berdakwah dan menjernihkan apa-apa yang kabur tentang islam kepada penganut agama lain, bukanlah semudah yang disangka. Kerana pegangan dan kepercayaan mereka yang kuat turun-temurun, sifat tidak ambil kisah dan negatif tentang islam. Paling penting, sikap orang islam sendiri yang tidak melambangkan diri mereka sebagai penganut agama islam adalah faktor utama yang membuatkan islam nampak “sama” dan tidak ada identiti tersendiri. Lalu, bagaimana penganut agama lain akan tertarik?
Menyelusuri dakwah Rasulullah SAW, sikap dan sifat baginda yang mulia itulah adalah anatra faktor utama yang membuatkan manusia tertarik untuk mendalami agama islam.
Jadi ana simpulkan di sini, untuk mengajak bukan Islam kepada agama ini, selain faktor pengetahuan yang mendalam dalam islam, sikap dan akhlaq yang mulia adalah yang paling utama.
Seperti semasa cakap-cakap ana dengan Encik. Ir Abdullah Prof. Dato’ Dr. Abdul Rahman, pesannya; “Jangan jadi seperti ketam, mengajar anak jalan betul sedang diri sendiri songsang!”
Soalan ana yang terakhir…
Islamkah kamu? “ Islamkah” kita?