Ladang Hati Mustika

Posted on Updated on

Ana baru menghabiskan karya anakanda Abu Hasan Morad; Ummu Hani berjudul Ladang Hati Mustika.

Mustika, gadis bersemangat waja dan bercita-cita tinggi melalui suka duka sebagai mahasiswa akhir di Universiti Malaya. Bersama sahabatnya Faez Faeza meredah ujian yang menemukan mereka dengan insan-insan berhati mulia di rumah Az-Zahra.

Mustika tegar dalam perkebunan kasihnya terhadap Bayu Ilhami, teman istimewa sejak alam persekolahan. Namun, galau resah Bayu Ilhami mengheret perpisahan mereka hingga ternoktah tatkala menerima kad perkahwinan Bayu Ilhami dengan Siti Sarah.

 Kecewanya terubat bila hadir si kumbang baru, Hanif Mustafa yang gemar dipanggil Ustaz Kopiah. Luhur budi Si Ustaz Kopiah rupanya sekadar mengisi ruang ukhwah sesama Muslim. Walau mulanya terasa ralat, dia yakin impian kasihnya masih dalam pencarian.

 Doa keluarga dan usaha dirinya berbalas kebaikan tatkala muncul pemuda soleh bernama Fuad. Dialah selama ini dalam angan dan impian kasih seorang Mustika. Dan Mustika selalu berpesan kepada dirinya, “Teruslah kita menuai dan bersabar.”

Ketika menyambar naskhah ini dan karya Abu Hassan Morad ; Suu Phea, tidak lain di fikiran ana selain mahu menikmati karya kak Ummu Hani sesungguhnya. Bukan asing namanya dalam ghairah ana mencicip manisnya sastera Melayu yang berbaur Islamika. Buah tangan kembaranya sering ana tilik di dada majalah ANIS. Selain itu, sesekali menjamah cerpen-cerpennya di dada akhbar.

Sebetulnya, ana kagumi dengan cekal dan semangatnya yang waja. Meredah benua demi menambah ilmu di negara orang. Tahniah!

Mustika, gadis manis yang digambarkan kak Ummu Hani, mungkin adalah refleksi dirinya sendiri. Kisah Mustika terkesan amat di hati ana. Kerana jalan-jalan yang dilalui Mustika yang berbaur di Kedah dan Petaling Jaya. Tempat kelahiran dan tempat membesar ana. Malah, sekolah menengah ana turut tercatit!-SMKA Kedah. (Di saat itu, Mustika mula kenal tentang erti cinta dan setia. Tetapi akhirnya Bayu yang datang tidak lagi bisa menyegarkan…)

Ketabahan Mustika mencari kekuatan menghantarkan ingatan ana pada sebuah nama, yang pernah ada di dalam galau hati ini. Dan saat-saat Mustika bangun di malam-malam hari menadah cinta Ilahi, benar-benar buat ana sebak. Pinjamkan ana kekuatan itu, wahai Mustika yang cekal!

Kerana hidup adalah sekawah kenangan yang tidak mungkin kita tolak ke tepi. Bukan untuk diusir, tetapi untuk menjadi sebuah ingatan, bekal menghadapi hari-hari yang mendatang. Dan yang manis-manis kita jadikan penghibur bahagia, yang pahit-pahit kita telan-biar jadi ubat untuk masa hadapan.

Mustika yang digambarkan sememangnya sangat waja menghadapi pusaran dan gelombang hidup yang ganas, melawan walah di hatinya tatkala gundah dan berputus asa serta ketika menjalani jalan-jalan dakwah yang berliku. Perkebunan hatinya tambah kejap dan kuat dengan segala ujian yang menyapa, seperti lunak nasihat Faez Faeza, “Ujian itu tanda naik taraf tempat kita di sisi Tuhan”.

Seluruh cebis-cebis kisah yang tercantum dalam Ladang Hati Mustika benar boleh menyegarkan, kerana ladang hati Mustika segar-bugar dalam taqarrub kepada Tuhan!

Judul: Ladang Hati Mustika

Penulis: Ummu Hani Abu Hassan (Penulis skrip Cinta Madinah 2)

Penerbit: AMN Publication

Harga: RM 22.90 (Semenanjung) RM 24.90 (Sabah&Sarawak)

—–

DOA YANG DIKUTIP DARI LADANG HATI MUSTIKA

Allahumma sa’khirli zaujan solihan yakhtibuni, wayatazauwajubi, wayakunu sahibanli fiddunya waljannah”

Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah aku seorang suami yang soleh, dia meminangku, mengahwiniku dan jadikanlah dia sahabatku di dunia dan di syurga.

2 thoughts on “Ladang Hati Mustika

    ummu hani said:
    March 25, 2009 at 9:57 am

    salam dik Sufiyyah, terharu kak ummu anti baca LHM, doa yang diberikan tu adalah doa bekal Ustaz kak ummu pada kami agar dipimpin dapat jodoh yang baik.
    salam kenal dari kak Ummu.

    Pagi di MHI at Ummuhani.com said:
    May 22, 2009 at 3:56 am

    […] Kemunculan saya secara live di kaca tv masuk kali kedua. Kali pertamanya ketika mempromosikan Ladang Hati Mustika di RTM1 pada tahun 2007. Jika tidak bersama abah, tentu saya lebih gugup. Saya memang gemuruh berada […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s