Ramadan: Sekolah jiwa di perbukitan Tuhan

Posted on Updated on

 

Ramadan: Sekolah jiwa di perbukitan Tuhan

 

Rumahku di lembah penghambaan ada

Syaaban yang mahu pulang ke pangkuan Tuhan

katanya puas sudah meneguk ihsan,

rumahku di lembah penghambaan ada

Ramadan datang mendepang tangan,

senyumnya segalak senyuman adik

menarik-narik.

 

Khabar Ramadan:

sekolah jiwa di perbukitan Tuhan

dibuka lagi,

terang-benderang silaunya

bakal menabrak hati-hati yang mati,

tentulah berkecipak titik-titik hitam menitik

sucikan hati.

 

Lalu bicaraku terkulum menjadi

tangis rindu menitis melaut,

seperti segara misk semerbak tiada tara

dengan wangian Ramadan tatkala ia

melepaskan sayapnya,

sebak, jiwaku jadi sebak meracau

alunan astaghfirullah,

menyembelih nafsu yang mahu menjilat-jilat

keinginan yang lazat.

 

Di sekolah jiwa perbukitan Tuhan,

dinihari yang dingin beku mencair dengan hangat qiam

-rukuk sujudlah tiada henti,

subuh berbalam dilantun pejal

zikir asyik kepada Rabb bergumpal-gumpal,

seperti kicau burung kecil yang melayah

menembusi tubir langit dengan gagah.

 

Saat mentari hampir gelincir di jalanan senja,

bantulah ingatan yang sudah nyanyuk kerepot

bahawa diri: lama benar tidak berkongsi sepatu kasih,

dalam diam berilah dengan erti mendalam,

seketul udara pun boleh dikongsi bersama

buat pembuka selera.

 

Zulmat malam bersambung dengan apung

taranum tak berpenghujung,

seperti mahu mereneh aksara khayal pekat

dalam renungan bening Tuhan

yang sejernih bintang.

 

Di sini, 

di sekolah jiwa perbukitan Tuhan,

ada Ramadan yang mahu mengajari erti

perkongsian payung rahmat

dalam hujan lebat dan kilat yang mengoyak langit silam,

supaya manifestasi cinta Rabb

‘kan kembali mentakhlik putik bunga

yang bakal mengelopak kembang di kaki pelangi budi,

setelah ribut dosa terhenti.

 

Wardahputeh,

UIAM Kuantan.

One thought on “Ramadan: Sekolah jiwa di perbukitan Tuhan

    Al-Fatihah « Wardah Puteh said:
    July 31, 2011 at 10:39 am

    […] Ramadan, sekolah jiwa di perbukitan Tuhan […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s