Menyentuh Piramid!

Posted on Updated on

HARI KEDUA [sambungan]

Saya jangkakan kami akan terus menuju ke hotel, beristirehat dan solat zuhur. Tetapi tidak, kami terus dibawa ke Giza.

Bas berhenti berdekatan dengan kawasan piramid Giza. Dari jauh saya melihat puncak piramid berdiri megah seolah-olah sedang menongkat langit. Kami berhenti untuk menukar wang. Di sini matawang ringgit ‘tidak laku’. Untunglah sejak di Malaysia, kebanyakan ahli rombongan awal-awal sudah menukar kepada matawang Riyal ataupun Dolar. Tetapi abah selaku bank bergerak kami sekeluarga memilih Riyal berbanding Dolar.

Matawang Mesir:

25 Pister nilainya lebih kurang sama dengan  25 sen.

1 pound nilainya lebih kurang 65 sen [senang kira macam 1 ringgit].

Selesai menukar wang, bas terus menuju ke restoran berhampiran- LA CUISINE Restaurant & Cafe. Kami makan tengah hari di situ.

Suhu masih nyaman walau pun hampir tengah hari. Kadang-kadang angin membawa udara sejuk menyerbu bersama cahaya matahari. Di luar restoran ada sederetan kerusi memanjang seolah-olah menyambut kami yang keletihan. Kami terus dibawa ke ruangan atas. Sudah tersedia makanan untuk kami dalam bentuk buffet.

Pertama kali makan makanan Mesir ialah semasa di dalam kapal terbangnya; Egypt Air. Ternyata, tekak orang Melayu saya tidak dapat menerima. Rasa nasinya amat berbeza. Begitu juga dengan lauk-pauknya.

Jadi, saya memilih makanan seadanya, bimbang tidak dapat habiskan.

Pukul 12 tengah hari kami dibawa kembali ke kawasan piramid Giza. Tiket awal-awal lagi sudah diuruskan pihak agensi.

Piramid yang ada di Mesir adalah lebih kurang 97 buah, dan paling banyak ada di Giza dan Luxor, Memphis.

Kami dibawa melawat ke Piramid Khufu, Giza yang terbesar- menempatkan kubur Firaun. Saya begitu teruja untuk mendekat. Melihatnya dari jauh serasa tidak puas. Dengan cepat saya berjalan di atas padang pasir. Angin kadang-kadang menyerbu dan menolak tudung saya ke hadapan dan ke kiri.

Tiba-tiba langkahan kaki saya terhenti. Ada suara menyentuh telinga saya.

Saya menoleh ke belakang.

Oh, rupa-rupanya abah memanggil saya bergambar beramai-ramai dahulu.

Saya jadi malu sendiri kerana tidak dapat mengawal perasaan teruja.

Gambar kami dan ahli rombongan diambil oleh pak cik Mesir yang kelakar. Walau pun membuat lawak sambil mengambil gambar [dan dia agak cerewat ], saya mengesan raut wajahnya yang kepenatan. 

Apabila menyentuh dan  berada di kaki piramid, rasa kagum menyelubungi saya. Batunya sangat besar! Hampir separas kepala saya ketinggiannya. Lebarnya pula hampir sedepa. Bayangkan betapa banyaknya kudrat yang diperlukan untuk membina piramid. Adakah orang-orang dahulukala sangat besar ataupun mereka menggunakan jin?

Selepas bertaaruf beberapa minit dengan Piramid Khufu, kami dibawa menaiki bas untuk melihat  Piramid Khafre dan Piramid Menkaure.  Di jalanan, ada sesetengah pelancong memilih untuk menaiki kereta kuda, ataupun menunggang kuda/unta, ada juga yang berjalan kaki!

Jarak antara ketiga-tiga piramid agak jauh. Saya tidak dapat membayangkan jika perlu berjalan kaki setelah perjalanan yang panjang dari Malaysia! Alhamdulillah kami menaiki bas, lengkap dengan udara ‘air-con’ yang nyaman.

Sepanjang perjalanan melihat dua buah piramid lagi, kami juga melihat beberapa buah piramid kecil mengelilingi 3 piramid utama tersebut. Tujuannya adalah sebagai tempat persemadian ahli keluarga atau isteri firaun. Juga terdapat sebuah kapal yang besar, yang kononnya diguna firaun untuk ke alam lain.

P1170250

Akhir sekali kami melawat Sphinx yang kehilangan hidungnya.  Kebanyakan ahli rombongan ketika itu sudah penat untuk turun dari bas. Jadi untuk menjimatkan masa, saya hanya bergambar dari jauh walaupun perasaan teruja untuk mendekat tetap mendominasi hati.

….catatan seterusnya ke Kedai Minyak Wangi al-Fayed

 

2 thoughts on “Menyentuh Piramid!

    Ibn Ali said:
    June 9, 2009 at 5:55 am

    Syariati, arkitek revolusi iran, apabila melihat piramid, dia mengatakan, ini adalah tirani. Bergelen-gelen darah massa telah tumpah akibat ia.

    wardahputeh responded:
    June 13, 2009 at 2:03 am

    Hmm..terima kasih dik. Nantikan tulisan akak seterusnya. Ini baru permulaan kisah mengenal Mesir.😉

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s