Di Kedai Minyak Wangi al-Fayed

Posted on Updated on

Kedai itu terletak betul-betul di tepi jalan dan dari luar tampak tidaklah sebesar mana. Ketika memasuki ruang hadapan, yang kelihatan ialah satu alat penyulingan yang besar. Sebuah bilik kecil pula terletak betul-betul di tepi pintu masuk. Sekali lagi kami dipelawa ke tingkat atas.

Sewaktu saya memanjat anak tangganya, saya meninjau bilik bawah yang terletak bersebelahan ruang hadapan. Bilik itu mewah sekali dengan perhiasan dan cermin berkilat.

Bilik di bahagian atas pula ternyata sama dengan bilik bawah yang mewah itu. Botol-botol minyak wangi yang cantik dan pelbagai tersusun di rak dinding. Ada berbagai-bagai warna dan bentuk. Ada yang lonjong, ada yang bulat, dan ada yang berbentuk seperti teko.

Seorang gadis menawan mempelawa saya duduk di atas sofa mewah. Gadis Mesir bermata galak dengan senyum memikat, ringkas berskirt jeans dan baju ketat, dengan tudung yang dipin kemas.

Saya melepaskan tubuh ke atas sofa, tenggelam sedikit kerana empuknya.

Benar kedai ini kelihatan biasa sahaja dari luar, tetapi di bahagian atasnya sangat indah! Di hadapan saya ada sebuah potret besar. Di belakang saya ada tingkap kaca yang tembus memperlihatkan suasana jalanraya di luar.

Tiba-tiba masuk seorang lelaki yang berusia pertengahan tahun, memberi salam bersulam senyum kepada semua ahli rombongan. Rupa-rupanya dialah empunya kedai minyak wangi ini.

Potret di hadapan saya itu adalah dia. Dia adalah salah seorang daripada keturunan al-Fayed, golongan kaya Arab. Tiba-tiba terlintas di fikiran saya: Adakah dia ini juga salah seorang ahli keluarga Dodi al-Fayed, kekasih tragis Puteri Diana?

“Saya akan menghidangkan minuman kepada anda semua.” Kata tuan empunya kedai  itu tiba-tiba.

Pekerja-pekerjanya pun mendekati kami.

“Would you like coffee, tea or hibiscus?”

Saya terserentak.

Minuman bunga raya? Apakah rasanya?

Namun saya tidak berani untuk mencuba, sekali lagi bimbang tekak saya tidak dapat menerima.

Akhirnya, saya memilih teh.

Encik al-Fayed itu pun kembali bercerita tentang kisah kedai minyak wanginya. Tentang potret-potret orang berpengaruh yang pernah berkunjung ke kedainya, tentang kulit wajahnya yang licin hasil amalan menyapu minyak wangi setiap malam sebelum tidur dan tentang pati minyak wanginya yang dijadikan inti sari minyak-minyak wangi terkenal di seluruh dunia.

P1170255

Selepas itu kami dipelawa untuk menilai minyak-minyak wangi yang terdapat di kedainya. Kertas-kertas tertera senarai nama minyak wangi yang terdapat di kedainya diedarkan bersama pensil.

Pekerja-pekerjanya pun sekali lagi menjalankan tugas-mencalit minyak-minyak wangi ke tangan kami untuk dinilai.

Saya jatuh hati dengan minyak wangi Tutankhamun. Tetapi, minyak wangi ini adalah minyak wangi untuk kaum lelaki!

Akhirnya, Encik al-Fayed mengumumkan harganya- sebotol bernilai 100 Dolar Amerika!

Niat saya untuk membeli terbantut. Kelihatannya semua orang pun terkejut. Dan pekerja-pekerja itu turut terkejut kerana hanya dua orang sahaja yang mahu membeli.

….seterusnya di Kedai Kertas Papyrus.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s