Aku Masih Ada Mimpi

Posted on Updated on

“Menulis tak lagi?” Tanya pak cik saat menapak menuju kereta. Sepupu kecilku, Rahimi menggagau-gagau jemarinya, mahu didukung.

“Lama dah tak menulis, pak cik. Asyik menghadap bahan-bahan berbahasa Inggeris. ‘Feel’nya tak datang,” adu ana sambil mengeluh panjang.

Dilema.

Betul ana berangan-angan mahu menulis novel sebelum graduasi. Kadang-kadang ana berharap punyai kumpulan puisi sendiri. Mahu sentiasa konsisten berkarya.

Tetapi ternyata makhluk yang bernama malas itu bergayut-gayut di jemari, bahkan di pelupuk mata.

Malas menulis!

Alangkah ruginya kan?

Jadi semalam, ana sempat singgah di Toko Buku berhampiran dan ‘merembat’ tiga naskhah:

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, S.N Anwar Ridhwan

Kembara Fikir Di Tanah Senja, Lim Kim Hui

Pelangi Embun, Aminah Mokhtar

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, novel yang bagus, komen sahabat semasa di MPR; MJ. Ditulisnya di kertas kecil, nota untuk diri ana katanya, lalu disisip di dalam novel kepunyaan ana. Sehingga kini, baru berpeluang memilikinya.

Pelangi Embun, ana baca penilaiannya di Dewan Sastera. Langsung tertarik untuk mencari dan memiliki apabila tahu penulisnya cenderung menulis bidang sains dan bioteknologi.

Kembara Fikir Di Tanah Senja, kumpulan puisi ditulis penulis berbangsa cina yang lumayan bagi ana. Tandus rasanya nak miliki koleksi puisi yang berkualiti.

[Mengeluh lagi]

Tak ada siapa-siapa pun pernah fikirkan tentang dirimu

Sebagus mana pun kamu.

Barangkali guru-guru puisi, ketika di awal kemunculanmu akan memberi sokongan padu dan berterusan, tetapi terlalu banyak penulis-penulis berbakat yang mencanak naik selepas kau muncul dan konon bersemangat tinggi mahu menjadi penulis.

Dan akhirnya, kamu akan tenggelam kerana

KEMALASAN.

Oleh itu, teruslah menulis

untuk diri sendiri.

AKU MASIH ADA MIMPI

Biar beranjangkan

kertas berkajang

dan langit mendung

menjadi selimut

aku masih ada mimpi

setinggi bangunan ini.

Mulai ini pagi

waktu terjaga

sang suria daripada tiduran

akan kuketatkan

pegas jam usaha

yang lama lena

di ranjang malas.

Cepat-cepat

aku bergegas

ke kedai jam

‘putarkan

jaram hidupku

ke angka satu.’

Si pekedai itu

jadi marah-marah

‘bagaimana harus

kukejutkan

jarum jam tua menjadi muda

sedangkan kau

sia-siakannya

di celah-celah

peluang anugerah.’

 

-Lim Kim Hui,

Kembara Fikir Di Tanah Senja.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s