Wardah Puteh @ Seminar on Marriage IIUM Gombak

Posted on Updated on

Ketika tahun pertama matrikulasi, tahun 2005,  aku telah berjumpa dengan kaunselor. Hatiku waktu itu masih belum terubat kerana gagal memohon kursus yang aku idam-idamkan.

Di sebalik kejayaanku menjadi antara pelajar terbaik di sekolah dan daerah; kerja keras, maki hamun dan kutukan mengiringi perjalananku. Mendapat 8A1 dan 1A2 barangkali bagi orang lain biasa sahaja, tetapi bagiku amat bermakna; kerana di sebaliknya adalah kerja keras dan nostalgia paling pahit pernah aku telan.

Tamparan paling hebat, Allah mengujiku gagal memohon kursus yang aku idamkan dan gagal mendapat tempat di UIAM. Walau pun abah datang merayu di UIAM Gombak dan aku memperolehnya serta-merta, self-inferiority tak mahu hilang.

Aku menangis semahunya di depan kaunselor. Aku kira sampaikan kerani di luar boleh dengar.

Menangis yang entah kali ke berapa, termasuk siri tangisanku di kamar asrama, di tandas sekolah, di meja kelas sewaktu semua orang sudah pulang dan ketika berjalan pun aku boleh menangis. Memang hatiku sangat rapuh. Tetapi, bagi orang yang tak punya apa-apa seperti diriku, emosi yang selalu diganggu-gugat bertimpa-timpa, telah menjadikan aku rapuh. Selalu ujian menguatkan kita, itu memang benar, tetapi memakan masa.

“Jangan tunduk, angkat muka kamu. Tunduk akan buat kamu lebih sedih. Pandang madam.”

“Minum air ni. Baca al-Fatihah, hembuskan dan kacau dengan jari. Teguk perlahan-lahan.”

Kaunselor itu memujukku. Tudungku habis basah dengan air mata, termasuk hingus.

“Kamu mau kahwin tak?”

Aku termengadah. Kahwin? Siapa yang tak mau? Tapi, apa kaitan dengan masalah aku sekarang?

Monolog dalam hatiku diiringi anggukan kecil. Sungguh tak malu.

“Kalau mau kahwin kamu kena kuat. Nanti kalau kamu dah kahwin lagi banyak ujian datang. Kamu kena kuat. Kamu nak anak kamu jadi tak kuat sebab kamu?”

Aku menggelengkan kepala.

Tangisan reda dan sesi kaunseling berakhir.

Sabtu akhir bulan Julai, 2010 ketemui kaunselor itu lagi. Masih seperti dulu, tudung labuh berbadan kecil. Senyuman penuh keibuan.

 Tetapi pertemuan kami bukan untuk sesi kaunseling, aku tidak lagi kecewa dengan takdir, malahan aku makin kuat serasa-rasanya, biiznillah. Pertemuan kali ini berlangsung di UIAM Gombak.

“Kenal tak lagi saya Madam?”

Aku yang sedang berlari-lari anak takut ketinggalan bas, berhenti apabila terserempak dengannya di taman. Kusalami dan kucium tangan rentanya.  Dia memandang wajahku, mataku, memegang pipiku lalu tersenyum.

“Madam tak  kenal sayang. Ramai sangat.”

“Saya Hazwani, dari UIAM Kuantan.”

“Oh, datang seminar ya. Terima kasih sebab datang. Semoga berjaya.”

Sangat pendek dan bermakna. Aku menerima doanya dengan senang hati.

Kuteruskan larian kecilku. Wajahku tak pernah ditundukkan lagi. Tetapi sentiasa kupandang ke hadapan.

Memang perkahwinan tak akan seperti jalan yang dipenuhi bunga-bungaan harum mewangi. Perkahwinan bahkan bukan syurga, tetapi manusia boleh men’syurga’kannya.

Terima kasih, Madam Kalsom. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s