Cebis nostalgia zaman persekolahan

Posted on Updated on

Semasa usia belasan tahun, saya menikmati hidup di asrama.  Tidak banyak nostalgia semasa di tingkatan satu yang saya ingat kerana saya asyik berpindah sekolah.  Dari SMK Sultanah Bahiyah ke SMKA Yan, dan akhir sekali di SMKA Kedah.  Tetapi, yang masih jelas di ingatan saya ialah, saya bahagia di SMKA Yan.

Bilik studi

Saya masih ingat, ketika di tingkatan dua, keinginan untuk menggunakan bilik studi sangat berkobar.  Berkobaran seperti api yang hangat. Namun, saya hanya mampu menelan liur menatap kakak-kakak (segelintir cuma) yang sangat rajin menelaah (pelajar bukan di tahun peperiksaan tidak dibenarkan guna).  Semasa melintas bilik itu, saya selalu membayangkan, betapa bahagianya dapat duduk di atas kerusi sambil khusyuk menelaah. Mejanya sangat besar dan cukup untuk menampung banyak buku.

Rabun dan lobak merah

Setiap malam, saya mentelaah pelajaran di tepi koridor, disuluh cahaya lampu kalimantang.  Tidak jarang juga diherdik teman sekamar kononnya cahaya lampu koridor mengganggu tidur nyenyak mereka. 

Dek kerana keghairahan itu, saya menjadi rabun.  Tuhan menarik nikmat ini perlahan-lahan. Saya gelisah, sampaikan sanggup membeli lobak merah senyap-senyap di Pacific tanpa pengetahuan mama dan abah.  Pun begitu, dua kali gigitan membuatkan saya mual. 

Malang sekali tak ada arnab di asrama. 

Minyak Cap Kapak

Kata orang, letak Minyak Cap Kapak di mata kalau tak mahu mengantuk. 

Sungguh suatu tindakan yang aneh dan bodoh!  Kerana apabila saya lakukan tindakan yang sama, mata saya terkejib-kejib, perlahan-lahan pedih mulai menjalar dan akhirnya saya tidak dapat membuka mata sepincing pun lalu terlena!   Jadi untuk mengatasi masalah ini, (kerana saya suka berjaga malam untuk menelaah) saya telah menuang minyak cap kapak ke atas buku rujukan sains.  Akhirnya, (alhamdulillah) saya perolehi anugerah Pelajar Terbaik Subjek Sains semasa di Tingkatan 2.

Konklusinya, belilah Minyak Cap Kapak dan tuang atas buku untuk kejayaan.  Minyak Yuyi pun boleh.

Ditegur kerana rajin menelaah

Selepas PREP (kelas persediaan) pada waktu petang, kalau keuzuran, saya selalu sengaja lewat pulang ke asrama.  Ternyata tindakan saya dikesan seorang pelajar lelaki senior yang __________. 

Tak semena-mena ketika saya di pustaka, saya ditegur pustakawati yang bertugas kerana suka pulang lewat.  Sampai sekarang saya masih geram kerana diadu dombakan benda  semacam ini.

Diremeh-remehkan kerana membaca majalah motivasi

Perpustakaan adalah dunia saya.  Setiap kali waktu rehat, saya pasti berkunjung ke pustaka, walau pun singkat sahaja kunjungannya.  Selalunya saya membaca bacaan yang boleh memotivasikan diri.  Paling saya gemar, ruangan Faisal Tehrani di dalam Majalah FOKUS SPM. 

Sekali lagi, saya ditegur kerana ‘malas’ membaca ‘buku ilmiah’ oleh pustakawati yang sama. 

Dia tak tahu, saya menulis segala kata-kata motivasi yang saya baca di dalam buku ungu kecil yang comel, yang selalu mencetuskan semangat juang membara dalam diri saya.

Minum teh VS studi

Setiap kali pulang ke rumah pada hujung minggu, saya sangat SUKA bermalasan.  Apabila pulang ke asrama pada petang Sabtu pula, saya berasa sangat SESAL.  Ketika kawan-kawan lain minum teh dan seronok bersembang, saya diam-diam memilih buku dan pergi ke bilik studi (ketika itu saya tingkatan lima).  Kawan-kawan bergelak tawa, saya menangis sambil membaca sampai maghrib menjelma.

Diperli dan dihina oleh JUNIOR dan senior

Semasa di tingkatan 4, saya suka menelaah selepas Asar di meja di tengah-tengah bangunan asrama.  Kawasan itu berbumbung zink dan disimen lantainya.  Saya berasa tidak cukup mentelaah pada waktu PREP petang dan malam, kerana selalu disampuk kantuk tak semena-mena.

Hari itu saya menelaah seperti biasa.  Tiba-tiba datang seorang adik junior melihat saya membaca.  Saya senyum.  Tiba-tiba dia bertanya, “awak dulu dapat berapa A PMR?”

Saya jawab, “9”.  Balasnya dengan selamba, “BIAR BETUL!”

Pada suatu hari yang lain dan waktu yang sama,  seorang senior datang dan duduk di hadapan saya yang sedang membuat kira-kira. Dengan muka yang sengaja dicebikkan, katanya, “tak mungkin awak berjaya.”

Ditindah ‘hantu’ setiap malam

Satu kegilaan saya ialah ‘duduk di meja studi, pura-pura tekun membaca walaupun penatnya Ya Rabbi, tak kuasa lagiiii’ pada waktu malam selepas PREP.  Selalunya berakhir dengan studi tak lebih satu jam, yang panjangnya ialah kerja gigih merembes air liur basi di atas meja. 

Nak dijadikan cerita, bilik saya pada waktu itu di tingkat tiga dikatakan agak keras (kerana dibuat daripada batu dan simen), dan katil saya di tingkat atas sebelah tingkap. 

Kerana selalu balik bilik dua tiga pagi, saya ‘ditindih’ ‘hantu’.  (Kalau menurut sains bukan ‘hantu’ tapi tidak balas ion tubuh terhadap cuaca sejuk).  Ketika kali pertama ‘ditindih’ saya berasa sangat GEMBIRA kerana telah merasai satu pengalaman aneh yang misteri (konon).  Tapi apabila setiap malam asyik ditindih saya jadi fobia tidur di atas katil.  Sampaikan saya menggunting ayat kursi dan ikatkan di telapak tangan dengan getah.  Akhir sekali saya peluk AQ kejap-kejap, alhamdulillah tidak diganggu lagi (sebelum tu walau baca ayat kursi tetap ‘ditindih’)

Berusaha keras, jangan ada ‘lubang’

Saya digelar perempuan aneh di sekolah menengah.  Di sekolah rendah saya diejek gila oleh kawan saya Anum Suraya.

Tidak ada yang mahu satu kumpulan dengan saya.  Jika tiba-tiba berjalan seiring dengan saya, pasti orang itu akan berhenti, pura-pura terkebelakang.  Tidak mahu berjalan dengan saya. 

Tandas adalah tempat ke-2 saya selepas perpustakaan (ya, aneh di sini), sebabnya saya akan menangis di dalam tandas perlahan-lahan.

Menangis adalah hobi saya selepas kegilaan ”duduk di meja studi, pura-pura tekun membaca walaupun penatnya Ya Rabbi, tak kuasa lagiiii”. 

Ketika SPM hampir menjelang, saya menangis teresak-esak di hadapan mama.  Kata mama “berusaha jangan ada lubang, baru Tuhan tolong kakak.”

Saya gigit kata-kata mama dengan geraham.  Setiap hari solat berjemaah, membaca yaasin.  Setiap hari menelaah walau pun sampai tidak tidur di surau sekolah bersama-sama kakak angkat (kak Farihanoor).

Naik pentas menerima hadiah 

Ketika di Tingkatan 4 (2003) saya berusaha gigih untuk naik pentas menerima hadiah.  Saya berhasil (nombor satu dalam kelas dan mendapat keputusan tertinggi beberapa subjek). 

Namun begitu, entah kenapa, majlis hari anugerah pada tahun itu tak menggunakan keputusan peperiksaan tersebut.  Saya berasa sangat kecewa.

Pada tahun berikutnya, ketika di tingkatan 5, saya tidak mendapat apa-apa anugerah untuk membolehkan saya naik pentas menerima hadiah.

Saya masih ingat, pada tahun 2004, ketika hari itu, saya berada di pintu dewan sekolah.  Memerhatikan kawan-kawan yang beruntung.  Teman di sebelah berbisik, “tahun depan giliran kamu pula.” (Saya peroleh ramai teman baru dari Maktab Mahmud dan SMKA Yan yang berpindah, mereka Masya Allah Tabarakaalllaah (nada suara Sheikh Nuruddin) sangat baik.  Sebab itu saya SUKA adik saya belajar di Maktab Mahmud).

Tahun 2005, saya gagal naik pentas.

Kerana mama yang naik pentas menerima hadiah Pelajar Terbaik SPM, mewakili saya yang sedang belajar di Matrikulasi UIAM.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s