Mudah kahwin ikut syariat

Posted on Updated on

SELASA lalu, muka depan Harian Metro memaparkan kisah penipuan seorang lelaki yang mendakwa disamun menyebabkan dia terpaksa membatalkan majlis perkahwinan yang tinggal beberapa hari lagi.

Dalam kes itu, lelaki berkenaan dikatakan kerugian RM18,000 sebelum menghilangkan diri dan mengakibatkan keluarga sebelah perempuan terpaksa menanggung malu berikutan majlis kenduri perkahwinan dibatalkan dan diganti dengan kenduri doa selamat.

Kes seperti ini sebenarnya banyak berlaku di negara kita, namun yang pasti ada hikmahnya dan di sebalik apa yang berlaku, pasti ada cerita kita tidak ketahui.

Hakikat paling utama perlu kita ketahui pada hari ini adalah cabaran yang terpaksa digalas kebanyakan anak muda zaman sekarang sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Pelbagai perkara yang berlegar di benak fikiran perlu diambil kira, terutama membabitkan soal kewangan.

Tambahan pula apabila sebahagian daripada mereka sukar mendapat pekerjaan. Gaji pula mungkin hanya cukup untuk membayar sewa rumah, pinjaman kereta, pinjaman pelajaran, petrol dan pelbagai kos sara hidup yang semakin tinggi.

Malah, jika dicongak keadaan sekarang, terlalu banyak godaan menggoncang iman. Tidak cukup dengan trend pakaian menjolok mata, akses tanpa sempadan ke alam siber membolehkan sesiapa saja melayari laman sesawang yang tidak bermoral tanpa mengira siang atau malam.

Lalu terjadilah kes buang bayi, pengguguran janin dan bunuh diri setiap hari membabitkan kalangan muda- mudi yang bermain cinta lantaran tidak mampu berkahwin.

Kerana itu, Islam menggalakkan perkahwinan untuk membina ikatan sah antara lelaki dan wanita bagi mengelak berlakunya gejala tidak sihat ini. Apabila berbicara mengenai perkahwinan, Islam sebenarnya banyak garis panduan untuk diikuti penganutnya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila datang kepadamu seorang lelaki, datang untuk meminang yang engkau reda terhadap agama dan akhlaknya, nikahilah dia. Bila tidak engkau lakukan, akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi.” (Hadis Riwayat Tarmizi dan Ahmad) Kemudian hadis daripada Ali RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud: Tiga perkara jangan engkau tangguhkan, solat apabila tiba waktunya, mayat apabila telah sampai, bujang apabila ditemukan sekufunya.” (Hadis Riwayat Tarmizi) Pada zaman Rasulullah, pernah berlaku sebuah kisah yang menunjukkan betapa Islam itu sangat mudah apabila tiba soal perkahwinan. Kisah seorang sahabat yang miskin dan tiada apa-apa tetapi ingin mengahwini seorang wanita.

Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya apa yang boleh dijadikan mahar untuk mengahwini wanita itu. Lelaki itu menyatakan dia tiada apa-apa kecuali sebentuk cincin besi dan kain untuk menutupi tubuh wanita terbabit.

Rasulullah SAW kemudian menyatakan kepadanya supaya mengahwini wanita itu dengan bermaharkan ayat al-Quran.

Saya yakin dan percaya, masyarakat kita pada hari ini tidak sampai ke tahap miskin seperti lelaki dalam kisah ini. Kisah ini hanya untuk menggambarkan betapa apabila tiba soal perkahwinan, Islam sedaya upaya memberi jalan untuk mempermudahkannya. Kerana perkahwinan itu sebenarnya antara pintu kepada pintu pembuka rezeki.

Allah berfirman di dalam surah An-Nur, ayat 32, yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang yang soleh daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” Jika belanja hantaran buat si gadis menjadi alasannya, bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Antara kebaikan wanita ialah mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (mas kahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” (Hadis Riwayat Ahmad dan At-Thabrani) Jika mas kahwin pun dituntut supaya dipermudahkan, mengapa mahu menambah beban hantaran yang Nabi sendiri tidak pernah syariatkan? Bukankah ini bertentangan dengan hadis Nabi bahawa pernikahan yang terbaik adalah yang paling mudah.

Oleh itu, permudahkanlah pernikahan dan majlisnya. Ambillah sunnah Rasulullah SAW sebagai pedoman dan ikutan. Berbanggalah dengan kemuliaan Islam, bukan dengan kenduri yang penuh dengan kemungkaran, bermegah-megah dan pembaziran.

Semoga semaian cinta dan majlis kita mendapat berkat dan keredaan Allah. Itu yang perlu kita cari dan kejar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/1 di Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s