Isteri Cerdik Yang Solehah

Posted on Updated on

Sambil memandu berteman merdu suara pendendang nasyid ‘Isteri Cerdik Yang Solehah’, saya terkenang satu fragman perdebatan Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Kota Kinabalu yang berbunyi, “rakyat Malaysia membaca dua buah buku sahaja setahun secara purata.”  Belum sempat terkejut dengan ‘kenyataan’ ini yang kedengaran sangat janggal, saya dimaklumkan usai perlawanan, “sebenarnya dua helai sahaja setahun.”

Menyedihkan untuk saya, yakni peminat tegar buku-buku dan pengguna Goodreads yang mabuk.

Nyaris saya terbeban dengan satu frasa demikian, kerana melalui pencarian, saya temukan bahawa,

“secara purata rakyat Malaysia membaca 8 buah buku setahun”

-Timbalan Ketua Pengarah, Perpustakaan Negara Malaysia (2010)

Pun, pastinya 8 buah buku itu tidaklah secara ‘bersih’nya merangkumi bahan bacaan ilmiah menurut firasat dan pandangan saya yang naif ini, dengan adanya lambakan buku ‘picisan’ setiap kali ada pameran buku atau jualan di tepian jalan. Anak murid saya lebih mengenali Ombak Rindu, karangan ? berbanding S.M. Zakir dengan Manusia Mimpinya, walau mereka maklum S.N. A Samad Said berjanggut putih.

Di mana keberkesanan dan kelangsungan program galakan membaca yang digembar-gemburkan seperti Program Membaca 1Malaysia: Jauh Perjalanan Luas Pandangan, sudut-sudut bacaan di gerabak kereta api, di stesen bas, dan pusat membeli-belah?  Di manakah gahnya kaunter sebuah bangunan yang menerbit, menterjemah yang dihiasi Majalah Mangga (yang tak semena-mena ada?!) ? Muda-mudi kini yang gemarkan komik dan novel cinta inilah yang nanti bakal memimpin kita meneraju negara.

Saya suka memetik kata-kata saudara Imlan Adabi di Berita Harian bertarikh 16 Januari 2012,

“Kita ada pesta buku setiap tahun, namun budaya membaca masih rendah. Berbeza pesta tahunan di Edinburgh, London dan Frankfurt yang diadakan pada Mac dan Oktober yang bukan saja membabitkan jualan buku terlaris, juga mengekalkan suasana pembacaan. Mereka juga mesra buku terpakai, karya terbuang yang dibaik pulih.”

Agak memalukan, saya mengakui membeli lebih daripada membaca…walau ini adalah satu titik mula yang bagus daripada membazir membeli yang bukan-bukan, seharusnya ‘dibanteras’ habis-habisan. Satu lagi persoalan, gajet yang ada di Malaysia tidak kurang hebatnya, kenapa tidak digunakan sebaiknya untuk menelaah bingkisan yang lebih berilmiah daripada hanya ‘menghayati’ bait-bait kata di Facebook dan hanyut dengan lagu yang melalaikan?  Kita kan mau menuju Wawasan 2020 dengan penuh bergaya?

Oh, maafkan saya jika kelihatan menjurus menyokong Goodreads daripada Facebook (walau ada suku kata ‘Book’ tercantum). Sudah masanya kita rakyat Malaysia, harus menjadi lebih memilih Jepun daripada K-POP, untuk maju…

(warga Jepun membaca 40 buku setahun secara purata)

P/S: Hm…isteri yang solehah dan cerdik pasti didambakan sang suami…namun tak akan menjadi jika malas membaca, betul tak? Pesta buku penghujung April ini, jom sama-sama membeli dan tekal membaca bahan berisi!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s