Saya tiada harta

Posted on Updated on

Bismillah.

Hampir tiga tahun berkhidmat di sektor perkhidmatan awam. Dan buat kali kedua, selepas melapor diri, saya perlu mengisytiharkan harta…dan agak mendukacitakan…saya tiada harta untuk diisytihar!

Tiba-tiba seperti desir angin yang menikam, saya terasa betapa keperluan dan kehendak pada zaman ini begitu menekan.

Bayaran tiket kapal terbang semakin tidak ‘tambang murah’, harga minyak melambung, dituruti barang keperluan lain, dan ini termasuklah rumah.

Harga semua kehendak dan keperluan ini akan kian meningkat saban tahun. Rumah, jika tidak dibeli pada tahun ini, akan meningkat harganya pada tahun-tahun mendatang. Di kawasan persekitaran tempat bekerja saya sekarang, setepatnya di Bandar Enstek, harga rumah adalah dalam anggaran RM 330k ke atas. RM 330k yang terendah ini malahan rumah teres di kawasan kos rendah!

Sebagai suri yang tinggal berjauhan dengan suami, banyak kos yang perlu dibiayai. Rumah kami 3 kesemuanya. Dua adalah rumah sewaan. Bayangkan perlu dibayar bulan-bulan. Tidak termasuk tiket pergi-balik. Hal-hal kecil yang lain, terutamanya makan di luar (lagi-lagi di restoran mewah) bagi saya mengeluarkan perbelanjaan yang bukan sedikit.

Menjadi penulis buku di Malaysia tidak bermaksud kaya. Malahan tidak keterlaluan kalau saya katakan jauh panggang dari api. Menjadi penulis juga bukan untuk mengejar populariti dan saya memang sedar sejak dulu lagi bahawa betapa “hodohnya” apabila terperasan diri dikenali orang. Hakikatnya penulis miskin wang tapi kaya dalam menyumbang; makanan minda.

Berbalik kepada soal tiada harta tadi…saya terfikir dan terkenang bagaimana ibu dan ayah yang berhasil menyimpan sejumlah wang padahal gaji mereka seadanya sahaja. Dan jawapan yang saya temui adalah ibu dan ayah memilih keperluan BUKAN KEHENDAK. Pun, jika sampai pada keperluan memberi, maka merekalah yang nombor satu. Selarilah dengan janji Tuhan, banyak memberi banyaklah pula hasil yang diperolehi.

Saya sememangnya mengakui, saya agak boros. Namun jika ditanya pada tuan suami jawapannya bukan agak boris, tapi sangat boros! Paling ketara boros memborong buku-buku. Tahun lepas sahaja saya rasa hampir mencecah RM 1000. Sebuah buku dibeli dengan harga RM 200. Ini bukanlah pembaziran mutlak. Apabila melihat buku-buku ini, azam menulis saya akan meronta-ronta untuk dilepaskan. Biarlah saya tidak menggunakan sesetengah buku lagi, tapi pada masa akan datang, insyaallah akan terselaklah lembaran kertasnya. Dan saya memang tidak semberono membeli buku. Ada “maqam” buku-buku yang saya telah beli (mengikut aras yang saya tetapkan).

Selepas beberapa tahun berkhidmat, selepas beberapa tahun menghirup nafas, ingin saya tanyakan pula kepada malaikat di sisi, berap banyakkah saham saya untuk akhirat nanti?

Persoalan ini lebih menekan-nekan nubari saya- lebih dahsyat daripada pengisytiharan harta…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s