Mei, Bawalah Jantungku ke Pesisir Reda

Posted on

Bismillah

Bulan Mei ini saya bagai buih yang dilambung-lambung ombak takdir.

Dalam kegembiraan rahmat Tuhan apabila menerima berita suami akan pulang bertugas di Politeknik berhampiran (dan bolehlah kami tinggal serumah seperti pasangan yang berkahwin lain), Tuhan menguji saya dengan kematian yang tersayang.

Mei jugalah bulan karya saya nan satu itu dipamerkan di khalayak dan diberitakan di akhbar, Mei jugalah saya membaca keratan kematian guru puisi yang saya sanjungi dan kasihi.

Allah.

Kalau pembaca ada membaca ‘post’ sebelum ini di dalam blog ini, pasti tidak asing dengan Nyome kucing peneman saya selama suami tidak berada di sisi.  Dialah kucing setia dan terapi saya setiap hari.  Tuhan kirimkan Nyome kepada saya tanpa dirancang dan Dialah sebaik-baik Perancang.

Didiagnosiskan mengalami kerosakan peparu. Dua klinik mengatakan jantung hati saya itu penghidap pneumonia. Menemuinya di bawah kereta selepas baru pulang dari kampung halaman dengan hingus hijau dan batu-batu kecil terlekat- begitu naif; telah menghancur lumatkan hati saya; padahal sebelum pemergian saya, dia tidak menunjukkan apa-apa simptom.

Rabu, dalam minggu yang sama, saya menerima satu perkhabaran duka lagi. Guru saya itu, dimasukkan di hospital kerana strok. Cekatan membuat panggilan (tidak pernah saya menelefonnya kecuali berbalas mesej kerana segan), tidak bersambut. Dalam gentar, saya menaip ringkas bertanyakan khabar, cikgu membalas pada tengah malam, saya berasa sedikit lega dan menangguh hasrat melawat pada Jumaat petang.

Malam Khamis, selepas menghantar Nyome di Vet Bandar Baru Bangi, saya teridur keletihan berpuasa Rejab.  Tengah malam, saya terbangun dan terbaca status keadaan cikgu yang kritikal. Allah. Nekad. Saya memandu ke hospital seorang diri.

Bagaimana saya boleh membiarkan cikgu saya itu, sedangkan banyak benar korban masanya mengajar saya tentang puisi?

Allah.

Melihat cikgu terbaring lesu membuatkan kaki saya seakan lumpuh.

Padahal baru saja beberapa minggu lepas, kami berbual di majlis pelancaran karya saya itu. Baru saja saya melihat matanya yang begitu tulus saat saya menghadiahkan cikgu beberapa buku pilihannya. Masih terngiang ucap terima kasihnya sambil berkata, “sepatutnya cikgu yang beri hadiah pada anak murid.” Masih terbayang-bayang kelibatnya di depan Rumah Pena, dalam gelap, merenung saya dan suami yang meminta izin untuk pulang.

Bagaimana Allah menarik orang-orang yang Dia sayang begitu cepat, begitulah hati saya, yang pantas jatuh dan dipijak berderap-derap.

Saya tidak mahu membayangkan kematian mereka sebagai perpisahan abadi, tetapi saya percaya ini adalah pemergian sementara yang pasti ada pertemuannya. Pertemuannya pastilah di syurga kerana cikgu orang baik-baik. Justeru, saya ingin menjadi hamba terbaik insya’allah supaya boleh bertemu cikgu kembali, dan tentunya memohon Nyome hidup kekal abadi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s