Memory

Selamat Ulangtahun Ke-4, Sayang

Posted on Updated on

jemputan

Bismillah

 

Pejam-celik, pejam-celik sudah 4 tahun berlalu.

Pun begitu, terasa masih baru lagi ikatan ini, lebih-lebih lagi kerana suami baru saja berpindah duduk sebumbung, ditambah lagi dengan kelahiran anakanda tersayang Muhammad Hud yang kini berusia 10 bulan.

13940122_744072415731591_948519731_o

Tiada apa-apa yang saya inginkan, melainkan ikatan ini kian kejap saling berpegangan menuju ke syurga-Nya, yang mahal.

Moga-moga segala desah, tangis, gelak tawa kita selalu beringingan dalam mencari keredaan Allah.

Amin.

Advertisements

Pabila anak kena chicken pox…

Posted on Updated on

Bismillah

Dah lama sebenarnya si kecil ni kena chicken pox, cuma baru sempat nak ceritakan di sini, untuk kenangan dan barangkali tips untuk ibu-ibu.

IMG_20160814_191911

Mula-mula naik bintik di dada Hud, Allah dah panik sangat. Dalam hati berdoa janganlah chicken pox, sebab kesian Hud masih kecil, baru je menjengah 7 bulan.

Masa nak hantar Hud ke taska, cikgu tak bagi hantar selagi tak dapat pengesahan doktor. Ke klinik terus dan memang confirm Hud kena chicken pox. Perasaan memang tak keruan, rasa terlalu bimbang, padahal Hud rileks je, boleh gelak lagi waktu mamanya kalut telefon abahnya.

Calamine lotion memang sapu je dekat butir-butir chicken pox Hud yang semakin banyak dalam masa yang singkat. Malam kedua, Hud demam teruk juga 39 degree Celsius. Malam-malam menangis dia, tak boleh tidur. Mujur Hud belum ‘dapat tangan’ lagi, kalau tak mestilah menggaru je dia.

Alhamdulillah.

Seminggu lebih juga Hud baru lega.

Antara tips:

  1. Selalu sapu calamine lotion
  2. Pakai baju tipis
  3. Mandikan dengan air suam
  4. Selalu lap badan bayi dengan air -tekap-tekap kain basah

Ada juga tengok di FB, sabun daun semambu, boleh beli kalau susah nak jumpa. Mama abah di Kedah belikan ubat homopathy untuk Hud, datang jaga bergilir dengan mak abah (mertua). Alhamdulillah, akhir sekali keluar butir terakhir dekat kaki- paling lambat dan besar jugak.

Mei, Bawalah Jantungku ke Pesisir Reda

Posted on

Bismillah

Bulan Mei ini saya bagai buih yang dilambung-lambung ombak takdir.

Dalam kegembiraan rahmat Tuhan apabila menerima berita suami akan pulang bertugas di Politeknik berhampiran (dan bolehlah kami tinggal serumah seperti pasangan yang berkahwin lain), Tuhan menguji saya dengan kematian yang tersayang.

Mei jugalah bulan karya saya nan satu itu dipamerkan di khalayak dan diberitakan di akhbar, Mei jugalah saya membaca keratan kematian guru puisi yang saya sanjungi dan kasihi.

Allah.

Kalau pembaca ada membaca ‘post’ sebelum ini di dalam blog ini, pasti tidak asing dengan Nyome kucing peneman saya selama suami tidak berada di sisi.  Dialah kucing setia dan terapi saya setiap hari.  Tuhan kirimkan Nyome kepada saya tanpa dirancang dan Dialah sebaik-baik Perancang.

Didiagnosiskan mengalami kerosakan peparu. Dua klinik mengatakan jantung hati saya itu penghidap pneumonia. Menemuinya di bawah kereta selepas baru pulang dari kampung halaman dengan hingus hijau dan batu-batu kecil terlekat- begitu naif; telah menghancur lumatkan hati saya; padahal sebelum pemergian saya, dia tidak menunjukkan apa-apa simptom.

Rabu, dalam minggu yang sama, saya menerima satu perkhabaran duka lagi. Guru saya itu, dimasukkan di hospital kerana strok. Cekatan membuat panggilan (tidak pernah saya menelefonnya kecuali berbalas mesej kerana segan), tidak bersambut. Dalam gentar, saya menaip ringkas bertanyakan khabar, cikgu membalas pada tengah malam, saya berasa sedikit lega dan menangguh hasrat melawat pada Jumaat petang.

Malam Khamis, selepas menghantar Nyome di Vet Bandar Baru Bangi, saya teridur keletihan berpuasa Rejab.  Tengah malam, saya terbangun dan terbaca status keadaan cikgu yang kritikal. Allah. Nekad. Saya memandu ke hospital seorang diri.

Bagaimana saya boleh membiarkan cikgu saya itu, sedangkan banyak benar korban masanya mengajar saya tentang puisi?

Allah.

Melihat cikgu terbaring lesu membuatkan kaki saya seakan lumpuh.

Padahal baru saja beberapa minggu lepas, kami berbual di majlis pelancaran karya saya itu. Baru saja saya melihat matanya yang begitu tulus saat saya menghadiahkan cikgu beberapa buku pilihannya. Masih terngiang ucap terima kasihnya sambil berkata, “sepatutnya cikgu yang beri hadiah pada anak murid.” Masih terbayang-bayang kelibatnya di depan Rumah Pena, dalam gelap, merenung saya dan suami yang meminta izin untuk pulang.

Bagaimana Allah menarik orang-orang yang Dia sayang begitu cepat, begitulah hati saya, yang pantas jatuh dan dipijak berderap-derap.

Saya tidak mahu membayangkan kematian mereka sebagai perpisahan abadi, tetapi saya percaya ini adalah pemergian sementara yang pasti ada pertemuannya. Pertemuannya pastilah di syurga kerana cikgu orang baik-baik. Justeru, saya ingin menjadi hamba terbaik insya’allah supaya boleh bertemu cikgu kembali, dan tentunya memohon Nyome hidup kekal abadi.

Kerana puisiku berjudul TERSISIH…

Posted on Updated on

Bismillah

Malam ini malam yang damai. Tiada bintang. Tiada awan. Langit di luar jendela pekat (dengan Nyome Can yang melompat-lompat di bingkainya). -_-“

Kertas peperiksaan subjek pertama (Biochemistry I) sudah disemak, dan ternyata taburannya adalah normal (baca: normal distribution graph). Bererti ada yang gagal, ada yang tinggi markahnya dan paling banyak pertengahan.

Begitulah. Roda berputar. Kalau dahulu terasa debar (sampai tidur memanjang) semasa musim peperiksaan, sekarang merasakan debar saat menanda kertas jawapan pula. Barangkali debaran ini akan berpusing kembali, lagi dan lagi.

Sebentar tadI mengemas kotak. Di dalamnya terjumpa kertas-kertas lama tercatat puisi dengan contengan guru puisiku. Kertas kerja sekitar program sastera. Carikan muka depan Postponing Truth dengan tandatangan S.N. Baha Zain. Cerpenku yang dicetak semasa MPR 2008. Koyakan puisi Sungai Mekong – dengan contengan (tulisan siapakah?) pada gambar yang dilakar penulis puisinya Latiff Mohidin: “Ni kawan dia dari India“.  Dan kad-kad buatan tanganku (yang tak laku).

Mengenang jasa guru

Hmm…terkadang terfikir, kenapa ya, kalau pergi ke mana-mana hotel (berkursus) selesai sahaja solat hati akan terkenang guru puisiku semasa MPR…rupanya kerana sebuah puisi. Puisi di tanganku sekarang. Puisi yang di’cantas’ supaya lebih bermakna di sisi Tuhan oleh guruku nan satu itu. Puisinya begini:

Tersisih

Dinding kamar

bercantum awan putih

di balik jendela

aku tersisih.

Dan ditambah di tepinya, “dengan-Mu Rabb, aku menyatu” oleh guruku.

Justeru seusai solat di mana-mana hotel, saat memandang langit, kan kukenang jasa guru…

Siapalah kita tanpa guru

Aku selalu berpesan pada diri, bahawa guru adalah makhluk Tuhan paling mulia, walau dia lebih muda daripada ku. Kalau dia mengajari aku tentang sesuatu, maka dia layak dihormati. Dan kedua, tidak boleh direndah-rendahkan di depan khalayak secara terbuka. Benar, dia tidak sempurna. Tapi ingatlah, kita juga tidak sempurna. Dengan itu, ku harapkan Tuhan akan menurunkan keberkatan kepadaku dan guruku. Dan tiadalah sebaik-baik guru, selain daripada guru yang ikhlas akan ilmu yang telah diberikannya.

Moga guru-guruku dirahmati Allah senantiasa…

La taisu min rauhillah

Posted on Updated on

kopi

Bismillah.

Malam ini malam yang tenang. Ipoh White Coffee dengan kacang hazel masih berasap di atas meja.

Saya ditemani si radio kecil, putih warnanya. Alhamdulillah. Bolehlah mendengar ikim.fm. Biarlah juga nanti rumah kecil ini dihiasi alunan Al-Qur’an selalu, sekerap mungkin, insya’Allah. 🙂

Mana mungkin saya terlupa pesan abah dan mama, rumah yang tenang dengan alunan Al-Qur’an ada di dalamnya rumahtangga yang tenang juga. Dan kesepian atau kesunyian tidak akan dapat digantikan dengan penyelesaian masalah berunsurkan dunia. Dalam keluhan, saya menyesali akan kekhilafan diri. Terlalu alpa dan leka, terkejar-kejar nafsu untuk ‘istirehat’ fizikal sahaja. Istirehat rohaniah jarang benar dapat dilakukan – secara istiqomah.

Hari Raya Aidiladha akan menjelma tidak lama lagi. Ibadah korban tahun ini? Kepada yang mampu barangkali boleh membuat ibadah ini melalui Syarikat Al-Ameen – Ibadah Korban Kemboja. Insya’Allah percuma senaskhah buku Kimono Ungu karya Rabecca Ilham. Klik sini: http://www.korbanaqiqah.com.my/secure/korbanaqiqah/borang.php?program=Korban&step=1

November ini bermulalah peperiksaan besar yang akan dihadapi adinda; yakni SPM. Insya’Allah, sesiapa pun akan berjaya jika ada mahu dan percaya diri, disulam tawakal dan takwa pada Allah. Terkenang sewaktu SPM dahulu, terkenang sewaktu abah melihat keputusannya, kejutan dan bahagia. Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Pada yang berusaha akan ada hasilnya, insya’Allah. Cuma pesan saya pada adinda dan adik-adik di luar sana, yang bakal menghadapi SPM- kudrat dan hasil – sebenarnya kepunyaan Allah. Daya menyelak lembaran kertas, daya menggerak pensel menulis jawapan, daya memadam bahkan daya bernafas sewaktu di bangku dewan- kepunyaan Allah. Tipsnya mudah, pohonlah dari Allah untuk membuat apa-apa pun. Jika ada yang meminta bantuan jangan lokek atau mendesah kesuntukan masa, kerana di saat kau begitu memerlukan, kesusahan dan ada yang meminta bantuan- inilah waktunya kau bertawassul meminta bantuan Tuhan. Percayalah, kejayaan bukan kerana usaha sahaja, tetapi datang dari takdir, ketetapan dan bantuan Allah.

Percayalah sesiapa yang membantu agama Allah, pasti akan dibantu Allah.

Selamat menduduki SPM dengan tenang. 🙂 La taisu min rauhillah…(Jangan berputus asa dengan rahmat Allah)

Ramadan di Kampung Halaman

Posted on Updated on

Bismillah.

Alhamdulillah, saya di kampung halaman sekarang. Setepatnya di teratak sakinah abah dan mama.

Desir angin malam-malam Ramadan begitu nyaman. Kadang-kadang terbaulah akan ingatan masa lalu…tentang bagaimana seorang ‘aku’ yang kecil menginjak dewasa bermain-main di dalam laman ini; yakni laman di bawah penjagaan abah dan mama tercinta.

Seingat saya, mama jarang benar mengizinkan kami membeli juadah berbuka di bazaar Ramadan. Sedangkan bazaarnya hampir dengan taman perumahan kami. Kadang kami singgah juga di Taman Nuri, kadang di Souq Bukhari. Jiran-jiran ada juga memberi juadah, kami bertukar hidangan, terasa begitu menyenangkan. Abah, kadang berbuka bersama-sama di rumah, kadang di surau, namun selepas solat di surau hadapan rumah, abah akan pulang berehat sebentar dan makan berat, sebelum menunaikan insya’ berjemaah. Kalau ada pisang yang lebih dari kebun, atau sebiji cempedak, abah akan menyuruh mama atau saya menggorengnya untuk jemaah di surau. Mama pula kalau membuat agar-agar atau kuih-muih, kadang akan melebihkan sedikit untuk dibawa abah…

Selalu benar, sayalah yang paling ‘ular sawa’ selepas berbuka. Kami menunaikan solat maghrib, dan ke surau untuk berterawih. Imam terawih dijemput khas dari maahad/ pondok tahfiz. Abah, pada penghujungnya akan menjemput mereka (selalu berdua) ke rumah untuk minum-minum sebelum menghantar pulang. Dan sayalah tukang membasuh pinggan yang gatal-gatal mencuri dengar perbualan…

Jika tidak ke surau, mama akan mengajak saya ke Masjid al-Bukhari, yang hanya 15 minit dari rumah. Selalu benar saya hampir pitam tak sempat menghabiskan solat terawih, atau kalau tidak pun terpaksa duduk bersolat sebelum tumbang (hypoglycemia). Bacaan imamnya lebih lunak dan menusuk jiwa saya yang kosong hingga terasa begitu menikam. Kadang dada terasa begitu sakit, hingga tak terdaya menahan limpah air mata daripada merembes. Masakan saya dapat lupakan harum wangi yang berkembang persih; bunga Harum Malam yang mendereti laluannya, kerna di situ jugalah saya diijab kabulkan dengan Tuan ‘Penawar Rawan’. 🙂

Dinihari, saya mendengar cebokan air basuhan- tanda mama dan abah bangun malam. Bau bawang berdesir disambar panas minyak,mama memasak. Sahur dengan mata memberat, telur mata ditaruh kicap sudah cukup berselera. Siangnya, kami bertadarus al-Qur’an. Selalu saya ditahan kerna membaca terlalu cepat sampai lintang-pukang. Mama tegas asuhannya, bayangkan 2 juzuk sehari harus dihabiskan sehari! Sayalah, si ‘ular sawa’ yang menersukan bacaan dengan linang air mata…

Begitulah, Ramadan memang terasa kemuliaannya jika diawasi oleh mama dan abah. Sekarang saya sudah dewasa, dan kini diawasi pula oleh Tuan ‘Penawar Rawan’…

Ya Tuhan, dekatkanlah dan permudahkan lah akan kami merangkul kemuliaan Ramadan…Aminnn..