Latest Event Updates

10 Tips Menyusu di Bulan Ramadan

Posted on Updated on

Bismillah

Alhamdulillah, Hud kini sudah menginjak 5 bulan umurnya. Beratnya kini 7.3 kg berbanding asal 1.63 kg Terasa begitu cepat masa berlalu, seperti angin deras meluruhkan daun-daun kering tua kekuningan.

Ramadan ini juga berlalu dengan cepat.

Menyusukan anak pada bulan ini, mehnahnya tak kurang hebat.

Antara tips yang saya lakukan adalah:

  1. Minum air sebanyak-banyaknya selepas berbuka puasa
  2. Tidak ‘skip’ mengepam susu di pejabat (dua kali)
  3. Makan buah kurma/ Qaseh Gold (3 sudu besar dua kali sehari)
  4. Makan (nasi) banyak semasa sahur dan berbuka
  5. Minum minuman bercoklat semasa bangun untuk pam pada dinihari (sekitar jam 2-3 pagi)
  6. Power pumping sekurang-kurangnya sekali seminggu (selalunya hujung minggu)
  7. Tidak terlalu memaksa diri..Pada waktu petang, selalunya saya akan pam sekali lagi sebelum berbuka, selepas berbuka saya akan berasa sangat letih dan susu tidak banyak. Jadi saya akan gunakan stok susu yang ada (2-3 botol x 120 ml). Hud pada waktu ini akan mengantuk dan suka minum banyak sekitar 4-5 botol dari pukul 5 p.m-3 a.m. *saya adalah exclusive pumping mama
  8. Makan milk booster. Selalunya makanan yang kita sukai seperti coklat. Baru-baru ini saya cuba kambing bakar di bazaar. Rupanya milk booster saya juga!
  9. Rehat secukupnya dengan tidur awal.
  10. Berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan

Setakat ini, saya tidak berasa sangat lapar malahan mampu bertahan seperti tidak berpuasa. Cumanya, susu agak berkurangan berbanding biasa.

Alhamdulillah ala kulli hal. Semoga Allah permudahkan jihad semua mama yang menyusu di luar sana. Amin.

 

 

Tips Bawa Bayi Ke PBAKL

Posted on Updated on

Bismillah

Pada 3 Mei 2015 yang lalu, saya dan suami bersama-sama bayi kecil kami yang baru berusia 3 bulan, telah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016.

Sebenarnya saya ada satu slot khas untuk mempromosikan buku kumpulan puisi saya berjudul Debu Di Mataku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Pada mulanya, saya fikir tidak mahu bawa Hud bersama-sama yang baru saja kebah demam.  Tapi memandangkan PBAKL 2016 kali ini dibuat di MAEPS yang ternyata tidaklah sesesak di PWTC, dan hari tersebut bukanlah hari minggu atau cuti umum, maka Hud pun dibawa sekali.

Terujanya saya sebenarnya, sebab tentulah saya mahu Hud menyintai buku seperti saya juga.

Tips untuk membawa bayi ke PBAKL:

  1. Bangun awal pagi untuk persiapan bayi
  2. Pastikan bayi mendapat rehat yang cukup hari sebelumnya dan kenyang.
  3. Bawa stroller yang boleh digunakan di tempat tidak ramai orang.
  4. Sediakan 2 helai baju gantian, 3 keping lampin pakai buang, tisu basah dan kain untuk alas semasa menukar kain.
  5. Pam susu, bateri dan plastik simpanan.
  6. Plastik kosong untuk baju kotor.

Pada pemerhatian saya, Hud kelihatan teruja dengan suasana yang baharu baginya. Saya pun sempatlah merembat beberapa buah buku dan flash card untuk Hud beserta poster pembelajaran awal dengan harga yang berbaloi-baloi!

Membawa Hud ke PBAKL 2016 pastinya meninggalkan kesan yang manis kepada saya dan abahnya, kerana anak ini, sekali sahaja usianya sebagai bayi; yang ternyata begitu pantas  tempohnya dan tak mungkin disia-siakan begitu sahaja…

Jom ke PBAKL 2016!

This slideshow requires JavaScript.

Hari-hari berlalu…

Posted on Updated on

Bismillah

Hari ini, setelah 6 hari bekerja, saya seperti ingin melepaskan satu keluhan panjang. Masih dalam kekalutan dalam pengurusan masa sebenarnya.

Semalam cuti MC disebabkan elbow tendonitis.  Entah mengapa, tiba-tiba lengan saya terasa sakit yang bersangat-sangatan hingga tidak boleh diangkat. Pil tahan sakit sudah ditelan dan ubat sapuan panas juga sudah diletakkan, namun tidak kebah. Alhamdulillah hari ini sudah beransur baik.

Esok keluarga suami akan datang berziarah. Saya sudah berkira-kira untuk memasak nasi lemak pandan. Lauknya ayam goreng (organik) yang saya beli dari Kak Suraya di kuarters kejiranan politeknik, sambal ikan bilis, telur rebus (saya beli sampai 30 biji) dan salad NFT Politeknik Nilai. Pencuci mulutnya insyaallah kek mempelam keju dan cokodok pisang. Kebetulan pula hari ini hari lahir kakak ipar. Airnya barangkali sarsi atau oren saja beserta buah oren + manggis.

Minggu depan saya bercuti panjang. Banyak perkara hendak diselesaikan, ke PBAKL 2016 pada hari Selasa untuk slot saya dengan ITBM, kemudian hari Rabu ke UTM Semarak berjumpa potential SV, insyaallah.

Jumpa di PBAKL 2016 ya!

Ibu bekerja

Posted on Updated on

Bismillah

Entri terakhir di blog ini, adalah entri sebelum saya melahirkan anakanda Muhammad Hud bin Muhammad. Alhamdulillah ala kulli hal.

Dalam pergelutan membahagikan masa, saya masih terkapai-kapai sebenarnya, pun ada beberapa perkara yang saya telah cuba lakukan:

  1. Menyusun baju-baju dan lampin pakai buang Hud dalam beg kanvas atau plastik percuma untuk 5 hari.
  2. Menggantung dan menggosok baju kerja untuk 5 hari (saya dan suami) semasa hujung minggu (hari Ahad).
  3. Membeli barang-barang mentah untuk seminggu dan mengasingkan dalam bekas berlainan (selalunya ayam, ikan 4 jenis dan sayuran 3 jenis)
  4. Menyiapkan kerja pejabat di pejabat seboleh mungkin.
  5. Membahagikan tugas dengan suami seperti saya mengangkat baju untuk dicuci (mesin basuh) dia akan sidai dan saya akan lipat. Jika saya memasak,dia akan mencuci pinggan. Dia juga akan menjaga Hud sehingga 2.30pagi, dan saya sehingga subuh.
  6. Memasak hidangan mudah dan seringkas mungkin, paling banyak pun hanya 3 hidangan sahaja, kalau boleh satu jenis seperti ikan kerapu tiga rasa dihidangkan dengan salad.
  7. Untuk stok susu Hud, saya akan pastikan mendapat sekurang-kurangnya 4 botol x 100 ml  di pejabat.
  8. Menyusun perancangan kerja/ aktiviti di pejabat pada permulaan pagi dan sasaran kerja pada hari tersebut.
  9. Membantu orang lain sehabis baik kerana saya percaya Allah akan mempermudah urusan orang-orang yang suka mempermudahkan urursan orang lain, insyaallah.
  10. Untuk bulan Ramadan yang akan datang tidak lama lagi, saya sudah sediakan stok makanan sunnah seperti kurma, susu kambing, habatussauda, madu dan kismis. Bagi sahur pula, saya akan simpan stok ikan bilis sambal dan telur masin.
  11. Hari Sabtu adalah hari mengemas rumah dan membeli barangan, manakala hari Ahad hari berehat dan menguruskan baju/ barangan untuk hari berkerja.

 

Tudung Akel dan Tudung Labuh

Posted on Updated on

 

Bismillah

 

Jom ke FB Page dan Instagram Wardah Puteh Online Shopping!

 

Ada banyaaak free gift dan tudung labuh murah-murah, handsock dan kerongsang bunga 😉

Post Mortem 2015 dan Impian 2016

Posted on

Bismillah

Selamat datang tahun baharu 2016.

2015 berlalu seperti kerdipan mata, meninggalkan manis, masam dan pahitnya.

Kehilangan yang dikasihi, menyambut kepulangan suami di sisi dan menerima berita zuriat yang sedang dikandung ini adalah antara rentetan yang tak akan mungkin dilupakan sepanjang tahun lepas.

Pelancaran buku puisiku Debu di Mataku dan kali terakhir bertemu cikgu puisi semasa beliau masih sejahtera, adalah kenangan yang juga tidak akan dilupakan selama-lamanya.

Impian 2015

IMPIAN 2015

1.  Memasuki mana-mana pertandingan penyelidikan & inovasi

Menyertai/ terlibat dengan 3 pertandingan: Malaysia Technology Expo (Bronze); iCOMPEX POLIMAS (Gold & Silver), IBCEX UTM (4TH Place) dan MAGIS (Bronze)

2. Berjaya memohon biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan

Belum layak memohon

3. Menyambung sarjana selewat-lewatnya September 2016 (jika mendapat biasiswa)

Belum layak memohon, namun sudah mencari SV dan tempat insyaallah

4. Membeli rumah

Dalam proses penerimaan kunci

5. Menerbitkan sebuah antologi puisi dan sebuah kumpulan cerpen

Tidak dicapai

6. Menjahit baju raya untuk diri sendiri, suami, abah, mama dan adik

Tidak dicapai

7. Mempunyai pendapatan sampingan yang berterusan memberi pulangan

Tidak dicapai, kecuali dengan menulis karya dan tembus media

8. Menulis sebuah buku/ manual akademik

Tidak dicapai

9. Menulis satu jurnal sains ke penerbitan jurnal luar selain politeknik

Jurnal Sains dan Teknologi UTM, sempena iCAST IIUM 2015

10. Memperolehi zuriat dan tinggal bersama-sama suami tercinta

Alhamdulillah dimakbul Tuhan !

 

Impian 2016

  1. Menulis satu kumpulan puisi
  2. Menulis satu kumpulan cerpen
  3. Menyambung pelajaran ke peringkat sarjana
  4. Menulis jurnal sains untuk diterbitkan
  5. Bersambung…