Latest Event Updates

Bertemu berpisah

Posted on Updated on

“Barangsiapa melepaskan seorang Muslim dari sebuah kesusahan dari kesusahan di dunia nescaya Allah akan melepaskannya dari kesusahan-kesusahan akhirat. Dan barangsiapa memberi kelonggaran kepada orang yang susah nescaya Allah memberi kelonggaran baginya di dunia dan akhirat. Dan barangsiapa menutup aib seorang Muslim nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” Hadis Riwayat Muslim 

Sabda Rasulullah begitulah. 

 Seperti lewat bicara guru fizik ana sebelum kelas dimulakan;

 “Jika ingin berjaya, jangan berlari ke hadapan sendirian. Pegang erat tangan sahabat-sahabat dan pecut ke hadapan. Itulah kecemerlangan.”

 Itu formula yang ana cuba buktikan. Dan benar-benar berlaku. Ketika hati ana hampir-hampir putus asa dan kecewa.  

 Dunia adalah maya.  Abstrak. Disentuh boleh. Tetapi bukan konkrit. Seperti di dalam kotak kecil. Sempit.   Pernah dengar kisah seorang siswa? Yang bersungguh membantu sahabatnya ketika saat-saat genting. Menangis terharu sang sahabat, kerana permintaannya ditolak semua kawan-kawannya sebelum itu, sehingga bertemu siswa ini.    Di dalam hati siswa itu hanya Tuhan sajalah yang tahu. Bergelora dengan kerisauan. Sedang esok adalah hari peperiksaan akan dilaksanakan. Tetapi kerana berpegang pada janji Allah maka dilunakkan hatinya untuk membantu.  Bila tiba keesokkannya, Allah mudahkan. Apa sahaja yang dibacanya keluar. Seperti air meluncur laju. Lancar. Dia peroleh tiga bahagian. Kejayaan, kecintaan seorang sahabat dan redha Tuhan.  

Seharusnya begitulah kita. Seperti lebah yang mahu berbakti dengan madunya yang manis dan punya penawar. Tanpa merosakkan bunga-bunga yang indah. Terus dibiarkan tanpa memusnahkan. Bahkan menyebar pula debunga supaya lebih banyak lagi warna-warna ceria yang tumbuh di muka bumi.  Malang sekali hati ana selalu sahaja sempit. Mungkin kerana tidak ikhlas barangkali? Seperti enau dalam belukar. Bertungkus-lumus untuk menagih cahaya Ilahi. Padahal menindas orang. Demi kebaikan diri sendiri. Orang bicara, bila ada pertemuan pasti akan ada perpisahan.   Tetapi ana percaya, setiap pertemuan tidak akan ada titik noktah.  Kerana kita akan bertemu semula di akhirat kelak. Samada sebagai sahabat atau musuh. Mungkin sahaja kita bertemu di dunia sebagai sahabat, tapi di akhirat kelak kita berjumpa kembali sebagai musuh. Bagaimana ya?

 Bila tanganmu sahabat, tidak kusambut… 

————-

 Bingkisan:Hak-hak seorang muslim ke atas saudaranya

  1. Memberikan salam apabila bertemu.
  2. Apabila diundang penuhi undangannya.
  3. Apabila meminta nasihat, nasihatkanlah dia.
  4. Apabila dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah, doakanlah dia.
  5. Apabila dia sakit, ziarahinya.
  6. Apabila dia mati, iringilah jenazahnya.
Advertisements

jemari kian kaku

Posted on Updated on

Terasa jemari kian kaku untuk menulis hatta satu ayat pun di blog ini. Tidak seperti masa-masa terdahulu, saban hari, ide meluncur dan mengalir bagai air. Keadaan, gerak dan tingkah manusia bisa mencipta satu cerita yang mengundang hikmah. Dan tarbiyyah semestinya.  Agaknya hati ana terlalu keras sekarang. Atau mungkin air mata susah benar untuk menitik. Mungkin juga niat dan tujuan ana tersalah. Dan tidak mustahil kerana setiap yang ditaip itu tidak ana amalkan sungguh-sungguh. Dan tadi ketika mendengar bacaan dari surah al-Hadiid, hati benar-benar terusik. 

“Belum sampai lagikah masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran Al-Quran yang diturunkan kepada mereka? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah memberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).” (alHadid,16)

Ya Tuhan. 

Betapa dalam kita sibuk mengejar dan mencari erti hidup, kita selalu terlupa, mati terlalu dekat. Entah mengapa, ketakutan sering menjerut tangkai hati bila mengenang sakaratul maut. Persediaan serasanya masih sebesar kuman. Ditambah tolak dengan amalan yang tidak sempurna, atau luput kerana riak. Masih adakah lagi peluang untuk menghidu jannah? Kerana yang pasti itu ghaib. Maka ana selalu alpa; yang ada dalam tiada. Seperti kematian yang datang menjenguk terhadap saudara kita, menangis, muhasabah dan beberapa hari seterusnya terus hilang. Dan diri ana terus bermain-main di atas dunia ini. 

Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu (Adam) dan anak hamba perempuanMu (Hawa). Ubun-ubunku di tanganMu, keputusanMu berlaku kepadaku, qadha’Mu kepadaku adalah adil. Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama baik yang telah Engkau namakan untuk diriku sendiri, atau yang telah engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada seseorang daripada makhlukMu atau Engkau khususkan untuk diriMu dalam ilmu ghaib disisiMu, hendaknya Engkau jadikan Al-Quran sebagai pententeram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku. 

  • Tuhan

  • Aku adalah fakir

  • Masih mencari buah fikir

  • Di tangan takdir